PASUKAN golf negara diraikan dalam satu majlis anugerah atas kejayaan meraih dua pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa pada temasya Sukan SEA ke-31 di Vietnam.
Sukan golf berjaya mencipta sejarah dan kebanggaan kerana berjaya memenangi kesemua pingat dalam satu temasya sejak ianya diperkenalkan dan Ervin Chang memenangi pingat emas pertama dalam acara individu sejak 21 tahun lalu.
Acara yang berlangsung di Kelab Golf Diraja Selangor itu dihadiri oleh Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan timbalannya, Datuk Seri Ti Lian Ker serta Ahli Exco Kesatuan Golf Malaysia (MGA).
Ahmad Faizal turut mengumumkan KBS akan memberikan peruntukan kepada MGA dan akan melihat struktur sukan golf ini bagi memastikan setiap atlet boleh hidup selesa selepas menamatkan kerjaya.
“Misi KBS adalah lebih daripada memenangi pingat emas demi pingat emas sahaja tetapi bagaimana atlet mampu hidup selesa selepas mereka bersara. Itu adalah perkara yang lebih penting,” ujarnya pada sidang media.
Sementara itu, Presiden MGA Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor pula mengucapkan tahniah kepada semua pemenang kerana berjaya mencipta sejarah meskipun berhadapan pelbagai kekangan seperti Covid-19, pertindihan jadual dan kebanyakan pemain tidak dapat pulang kerana bertanding di Amerika Syarikat.
“Anda semua bertanding seperti ‘gladiator dan anda adalah kebanggaan kerana berjaya memenangi kesemua pingat dalam satu temasya sejak ianya diperkenalkan 21 tahun yang lalu,” kata beliau ketika pembukaan majlis anugerah itu.
Selain meraikan para atlet dan pegawai, majlis ini turut meraikan ibu bapa para atlet yang telah banyak berkorban hingga anak-anak mereka berjaya mengharumkan nama negara dan juga kepada para penaja yang banyak membantu pembangunan sukan golf di negara ini.