BEKAS pemain tengah Arsenal, Giovanni Van Bronckhorst menganggap peranan media adalah sesuatu yang positif dalam menyampaikan maklumat kepada para penyokong dan rasa hormat perlu ada antara media dan pemain bagi memastikan keharmonian kedua-dua pihak.
Mantan pemain kebangsaan Belanda itu juga menjelaskan kewujudan media sosial telah mengubah cara hidup pemain dan jurulatih yang kini terpaksa berhadapan dengan kritikan dan juga pujian secara terus.
“Ketika bergelar pemain dahulu, saya tidak pernah menggambarkan media sebagai sesuatu yang buruk sebaliknya menganggap media sebagai medan komunikasi antara pemain dan penyokong.
“Hubungan antara pemain dan media perlu disandarkan kepada rasa hormat menghormati antara satu sama lain dan tanpa rasa hormat, perhubungan akan menjadi lebih sukar.
“Saya juga memastikan saya berkongsi perkara yang boleh dihebahkan dan ada kalanya ianya hanyalah perbualan biasa yang tidak perlu ditulis dan saya gembira dengan peranan media,” katanya ketika ditemubual secara eksklusif oleh FLASH SUKAN di Sesi ‘Meet and Greet’ di Bukit Jalil.
Van Bronckhorst yang mempunyai 106 kaps antarabangsa dengan Belanda yang kini bergelar jurulatih sentiasa memesan kepada pemainnya supaya bijak mengawal diri ketika bermain dengan media sosial kerana ianya boleh menjejaskan mental mereka.
“Media sosial adalah sesuatu yang berlainan sama sekali kerana ianya mempunyai banyak pendapat dan ianya boleh menjejaskan kehidupan sebagai pemain dan jurulatih menerusi artikel dan komen yang dimuat naik.
“Saya sering berpesan kepada pemain dan jurulatih supaya mereka hanya perlu fokus kepada tugasan masing-masing dan tidak membaca segala apa yang ditulis di media sosial, berbeza ketika zaman saya bermain dahulu dimana tidak ada penyokong yang menulis atau memerhatikan langkah anda.
“Tetapi media sosial juga boleh menjadi penghubung antara pemain dan jurulatih untuk berkomunikasi kerana mereka boleh berhubung secara terus tetapi segalanya terletak di tangan individu bagaimana mereka mahu memilih menggunakan media sosial,” jelasnya.