PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin serta merta memadam spekulasi yang mengaitkan dia sebagai antara calon Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu.

Ini selepas Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria membuat keputusan mengejut untuk melepaskan jawatannya pada hujung tahun ini sekaligus mengosongkan kerusi itu lebih awal berbanding selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024 seperti yang diumumkannya sebelum ini.

Hamidin pantas menegaskan betapa dia tidak berminat untuk memikul satu lagi tanggungjawab kerana tumpuannya lebih terarah kepada arena bola sepak sekaligus berpandangan ada calon lebih layak mengisi kerusi nombor satu terbabit.

“Sudah tentu nama ini boleh disebut oleh semua orang tetapi saya tak berminat. Kena faham kerana saya sudah memegang jawatan besar dalam bola sepak dan masih banyak lagi perkara yang perlu dibuat.

“Mana boleh pegang dua jawatan nanti orang kata gila. Mana mungkin saya pegang dua persatuan besar yang memiliki ramai peminat di negara ini.

“Saya rasa tidak sesuai dan tidak bagus. Lebih baik kita hentikan spekulasi itu,” kata Hamidin ketika ditemui pada majlis kerjasama FAM dan pengedar rasmi jam tangan Caterpillar (CAT), Marco Worldwide (M) Sdn Bhd di Wisma FAM pada Isnin.

 

Hamidin ketika diminta mengulas mengenai keputusan yang diambil Norza menjelaskan semua pihak perlu memberi ruang kepadanya dan individu yang sesuai pasti dipilih bagi mengisi kekosongan itu.

“Saya fikir Tan Sri Norza sudah buat sesuatu untuk badminton dan di mana-mana pun, yang patah akan berganti. Saya pun begitu apabila akan tinggalkan FAM satu masa nanti. Dia sudah membuat keputusan jadi kita beri ruang kepadanya,” jelas Hamidin.