PERAK FC mahu meneruskan rentak kemenangan dengan meraih tiga mata penting apabila melayani kunjungan Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Perak pada Rabu malam.
Selepas menikmati kemenangan sensasi ke atas Kedah Darul Aman FC pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala FA, sudah pastinya skuad kendalian Yusri Che Lah tidak mahu hanya sekadar memungut satu mata di halaman sendiri.
Menghuni tangga ke-11 liga, skuad The Bos Gaurus dilihat memiliki peluang terbaik untuk meraih kemenangan keempat musim ini dengan Penang juga tidak berada pada prestasi terbaik apabila kecundang tiga pertemuan dalam semua pertandingan sepanjang kempen musim ini.
Malah, kejayaan menumbangkan Kuching City FC 2-1 pada 16 Julai lalu dianggap memberi harapan buat pemain tengahnya, Sunday Kola Afolabi untuk terus menyajikan persembahan mantap dan mengutip mata demi mata
“Jika anda percaya, segala-galanya di tangan anda, kami teruskan sehingga akhir dan semangat yang baik untuk mengakhiri hujung minggu pada hari Rabu.
“Saya mahu peminat kami yang baik memberi kami moral seperti ini sekali lagi. Terima kasih kerana datang ke stadium menyokong kami,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha kehormat Persatuan Penyokong Bolasepak Perak, Hakimi Abd Halim meminta skuad kendalian Yusri terus mempamerkan prestasi cemerlang untuk meletakkan Perak pada kedudukan terbaik.
Katanya, segala kelemahan perlu diperbaiki segera terutama mempertajamkan lagi jentera serangan yang dilihat mula menunjukkan perkembangan positif.
“Saya percaya semua pemain boleh melakukannya dan menjadikan perlawanan pada Rabu ini bertemu Penang FC sebagai detik kebangkitan,” katanya.