JAWAPAN kepada surat tawaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sudah siap dirangka Datuk Misbun Sidek dan akan dihantar ke pejabat badan induk badminton negara, hari ini.
Pengurus peribadinya, Nor Kamal Ahmad berkata, surat balasan kepada tawaran BAM yang meminta legenda badminton negara itu kembali meneruskan kontrak sebagai pengarah kejurulatihan perseorangan remaja, akan dihantarnya kira-kira jam 2 petang ini.
“Ya sudah ada surat jawapan daripada Datuk Misbun dan saya akan menghantarnya hari ini, sekitar jam 1.30 hingga 2 petang ini.
“Maaf saya tak boleh kongsi kandungan surat jawapan itu kerana saya hanya ditugaskan menghantar surat ke BAM,” kata Kamal ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Menurutnya, apapun jawapan daripada Misbun, “Biarlah BAM yang mengumumkannya, bagi menghormati badan induk badminton itu.”
Sebelum ini, BAM menerusi Timbalan Presiden BAM yang juga pengerusi jawatankuasa khas, Datuk V Subramaniam mengumumkan kontrak Misbun ditamatkan lebih awal daripada kontrak asal hingga Disember tahun ini, atas persetujuan bersama.
Namun kenyataan itu menimbulkan rasa kurang senang Misbun, yang mengadakan sidang media, menafikan berlaku persetujuan bersama dan mendakwa dia telah dipecat tanpa berlaku perbincangan mengenainya.
Malah Misbun turut menyuarakan rasa terkilan apabila pemaklumannya kepada Norza yang mengambilnya berkerja, dijawab dengan acuh tak acuh, seolah-olah sudah tahu lebih awal mengenai pemecatannya.
Kenyataan Misbun itu mengundang Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, mengadakan sidang media tergempar, memohon maaf kepada Misbun dan menjelaskan berlaku salah faham akibat masalah komunikasi dan menawarkan Misbun untuk kembali bersama BAM, menamatkan kontraknya sehingga hujung tahun.