Oleh MOHD FARIQ
KONKURENSI perebutan takhta Liga Bolasepak Amatur (AFL) tampak menjadi semakin menarik sejurus berlaku dominasi di antara tiga kelab, Kuala Lumpur (KL) Rovers, Harini Selangor FT dan Imigresen FC.
KL Rovers kini unggul sebagai pendahulu liga dengan kelebihan 36 mata dan Harini Selangor FT yang ketinggalan dua mata mengekori rapat di kedudukan kedua liga.
The City Boys dilihat dalam landasan terbaik untuk memburu kejuaraan liga musim ini sekali gus dalam misi mengubati kekecewaan muncul sebagai naib juara AFL pada tahun lalu.
Pun begitu, perjuangan skuad kendalian Wan Mustaffa Wan Ismail tidak berdepan laluan mudah apabila Harini Selangor FT dilihat memberikan persaingan sengit kepada mereka.
Harini Selangor FT antara pasukan pilihan menjuarai AFL 2023 dan mereka dibarisi pemain-pemain bertaraf bintang seperti bekas penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha, N Thanabalan dan Nasir Basharudin.
Sementara Imigresen FC yang mengutip 29 mata juga dilihat menjadi salah satu pencabar utama kepada KL Rovers dan Harini Selangor FT.
Satu penghormatan buat Imigresen FC apabila pemain mudanya, Muhammad Hazim Abu Zaid telah menerima panggilan menyertai kem latihan pusat skuad bawah 23 tahun (B-23).
Hazim menjadi pemain tunggal dari AFL menyertai skuad kendalian E Elavarasan yang bakal beraksi di Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand bermula 17 hingga 26 Ogos ini.
Ini membuktikan bahawa barisan jurulatih di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak terlepas pandang dan jika mereka memiliki kualiti tetap akan dipanggil meskipun bersama pasukan berstatus amatur.
Apa yang pasti tumpuan perebutan takhta liga menjadi semakin hangat apabila ketiga-tiga pasukan ini dilihat enggan tercicir mata berharga menjelang aksi akan datang.
Sementara di kelompok tempat keempat sehingga keenam liga, persaingan tampak seimbang menyaksikan Bukit Tambun FC meraih 25 mata disusuli Sains FC (23 mata) dan Manjung City FC memperoleh 20 mata sepanjang 14 perlawanan.
Wakil Utara, Perlis United berjaya mendapatkan 18 mata sementara Melaka FC dan PIB Shah Alam FC masing-masing berkongsi 19 mata dan Malaysia University dan Armed Forces pula masing-masing berkongsi 17 mata.
Malang menimpa buat bekas pasukan Liga Super, Sarawak United menduduki tangga kedua tercorot liga dengan sekadar mengutip empat mata menyaksikan Naga Ultimate KS FC menduduki tangga terakhir liga tanpa mengutip sebarang mata.
Melihat perjalanan liga amatur negara, ia masih dilihat cukup progresif dan kompetitif sebagaimana masih ada kelab berstatus daerah dan sebagainya masih berminat untuk bertanding secara serius dalam aksi domestik.
Kata orang, melentur buluh biarlah dari rebungnya dan AFL juga antara dalam sistem bola sepak negara yang bukan sahaja perlu diberikan sokongan tetapi juga perlu diberikan perhatian.
Ini kerana di sinilah berlaku tercetuskan inspirasi untuk melahirkan lebih banyak lagi pemain-pemain berkualiti tinggi.
Justeru kita sama-sama turun padang bagi memberikan sokongan teguh kepada industri bola sepak lokal kita yang sentiasa menjadi agenda nasional negara.