PERAK FC meneruskan rentak cemerlang dari Piala Malaysia apabila sekali lagi menjadikan pasukan jiran utara mangsa terbaharu dengan kemenangan 3-1 ke atas Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh.

Jaringan ketua pasukan, Luciano Guaycochea pada awal perlawanan dan jaringan Wan Zack Haikal dan Seo Seonung memberikan tiga mata penuh buat anak-anak buah Yusri Che Lah dan semakin menghampiri kedudukan pertengahan Liga Super.

Kekalahan ini juga menyaksikan Penang FC kendalian Chong Yee Fatt mengalami kekalahan keempat dan ketiga berturut-turut dalam Liga Super sekali gus semakin membimbangkan para penyokong Harimau Kumbang.

Kehadiran Guaycochea sebagai kapten pasukan sememangnya memberikan inspirasi buat para pemain muda Perak dan jaringan dari jarak jauhnya memberikan kegembiraan awal buat para penyokong The Bos Gaurus.

Wan Zack Haikal juga berjaya meletakkan nama sebagai penjaring apabila gandingan satu duanya dengan Seo Seonung memecah benteng Penang FC untuk gol kedua untuk kedudukan 2-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Tidak banyak perubahan berlaku pada babak kedua dengan Penang FC lebih banyak mengasak untuk mencari gol awal namun dihampakan kekentalan barisan pertahanan Perak yang bertahan dengan disiplin.

Kesungguhan pemain-pemain Harimau Kumbang mencari gol terbalas apabila Alif Ikmalrizal menjaringkan gol pertama untuk merapatkan kedudukan kepada 2-1 dengan 17 minit perlawanan berbaki.

Namun satu keputusan kontroversi menyaksikan usaha kebangkitan Penang FC menjadi sia-sia apabila Seo Seonung yang jelas berada dalam kedudukan ofsaid meletakkan bola dalam jaring Penang FC dan pengadil perlawanan membenarkan jaringan itu.

Keputusan itu mengundang perdebatan hangat di kalangan pemain Penang FC kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil namun keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan.

Kemenangan itu meletakkan Perak kekal di tangga ke-11 liga namun hanya dipisahkan tiga mata dengan Penang FC di tangga kesepuluh dan kini mendapat tonik terbaik untuk perlawanan Liga Super seterusnya menentang Johor Darul Ta’zim.

Penang FC pula perlu mencari jalan terbaik untuk kembali bersaing di peringkat pertengahan liga dengan berbaki tujuh perlawanan untuk dihadapi.