KETUA Jurulatih dan Pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT) Esteban Solari berbangga dengan karakter yang ditunjukkan para pemainnya yang tahu bagaimana mencari jalan untuk mencapai kemenangan walaupun beraksi di tempat yang sukar.

Solari mengakui bukan mudah untuk beraksi di Likas dan dia gembira kerana mereka berjaya mencipta banyak peluang dengan mengamalkan corak permainan menyerang sejak awal perlawanan.

“Kami tahu ianya perlawanan yang sukar. Saya bangga dengan pemain kerana mereka buktikan bukan sahaja boleh bermain bola sepak yang baik tetapi juga menunjukkan karakter untuk menang di tempat yang sukar.

Ianya tidak mudah pada babak pertama kerana buat pertama kali musim ini, kami perlu bangkit dari ketinggalan dan mereka tunjukkan semangat untuk menang dan saya gembira dengan mereka.

“Kami sentiasa mahu menjadi pasukan yang menyerang dan kami begitu baik di bahagian serangan malam ini dengan mencipta banyak peluang dan kami layak untuk mendapat keputusan ini dan sekali lagi saya katakan saya bangga dengan karektor pemain saya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Harimau Selatan meneruskan rentak cemerlang dalam Liga Super dengan kemenangan ke-19 berturut-turut untuk kukuh di tangga teratas liga dan kini semakin hampir untuk memenangi kejuaraan liga buat kali ke-10.