KEMELUT antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Datuk Misbun Sidek mungkin hanya akan berakhir minggu hadapan.
Ini berikutan badan induk badminton negara mengesahkan hanya akan mengeluarkan kenyataan media berhubung surat jawapan balas Datuk Misbun Sidek minggu hadapan.
Perkara itu dijawab ringkas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Akademi Badminton Malaysia (ABM) Michelle Chai.
“BAM akan mengeluarkan kenyataan minggu depan,” kata Michelle yang tidak mengesahkan sama ada kandungan surat jawapan balas itu, sama ada sah Misbun kembali atau tidak menggalas tugas selaku pengarah pembangunan perseorangan remaja negara sehingga kontrak asalnya tamat, hujung tahun ini.
Ia sekali gus memanjangkan lagi teka-teki apa jawapan Misbun dalam surat berkenaan dan menimbulkan persoalan apa langkah BAM selepas ini.
Pagi ini, FLASH SUKAN melaporkan tawaran BAM nampaknya tidak dilayan Misbun untuk kembali menggalas tugas berkenaan.
Norza hanya akan kongsi keputusan Misbun selepas kembali dari luar negara
Menurut sumber itu adalah kandungan surat yang dibalas semula oleh Misbun kepada BAM kelmarin.
Kelmarin, pengurus peribadi Misbun, Nor Kamal Ahmad hadir ke Akademi Badminton Malaysia ABM bagi menyerahkan surat jawapan balas jurulatih berkenaan.
Surat yang ditujukan buat Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria itu diserahkan kepada Michelle.
Norza sebelum ini memohon maaf kepada Misbun susulan kemelut yang melanda antara badan induk itu dengan jurulatih berkenaan berhubung penamatan kontraknya sambil menjelaskan ia disebabkan masalah komunikasi.
Untuk tidak memanjangkan lagi isu berkenaan, beliau menawarkan Misbun untuk kembali menggalas tanggungjawab selaku pengarah pembangunan perseorangan remaja sehingga kontrak asalnya tamat hujung tahun ini.