PASUKAN kebangsaan wanita Sepanyol telah menamatkan penantian apabila mereka telah berjaya layak ke peringkat separuh akhir Piala Dunia Wanita 2023 julung kalinya sejurus kejayaan menewaskan Belanda 2-1 dalam aksi separuh akhir di Stadium Sky, New Zealand hari ini.

Kejayaan itu menyaksikan La Roja layak kali kedua ke pusingan separuh akhir dalam kejohanan utama seperti Piala Dunia, Kejohanan Eropah (EURO) dan Sukan Olimpik selepas membuat penampilan pertama di pentas kejohanan besar pada EURO 1997.

Dalam aksi itu, pasukan yang menduduki ranking keenam dunia membuka tirai jaringan hasil sepakan penalti Mariona Caldentey pada minit ke-81.

Namun Stefanie van der Gragt telah berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Pun begitu, Sepanyol mengekalkan rekod bersih ke atas Belanda sepanjang empat perlawanan dalam kesemua kejohanan apabila Salma Celeste Paralluelo Ayingono menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-111.


Sementara satu lagi aksi suku akhir Piala Dunia Wanita 2023 menyaksikan Sweden layak ke pusingan separuh akhir dengan menewaskan Jepun 2-1 di Stadium Eden Park, New Zealand.

Sweden telah layak ke pusingan separuh akhir Piala Dunia Wanita kali kelima termasuk layak ke pusingan separuh akhir dua kali berturut-turut (2019 dan 2023) buat kali pertama.

Dalam aksi itu, Blågut membuka jaringan hasil gol daripada Amanda Ilestedt seawal minit ke-32 sebelum Filippa Angeldal menggandakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-51.

Amanda meraikan kemenangan ke atas Jepun pada aksi suku akhir, Jumaat. Foto: Fifa

Jepun hanya memperolehi gol sagu hati hasil jaringan Honoka Hayashi pada minit ke-87 sekali gus terpaksa akur kepada Sweden selepas keputusan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Malang buat skuad Samurai Biru yang lebih banyak bolos ketika berdepan Sweden berbanding sepanjang kejohanan Piala Dunia Wanita 2023 di peringkat kumpulan sekali gus menyaksikan Jepun kini tewas tiga daripada empat perlawanan dalam aksi kalah mati dalam kempen Piala Dunia Wanita apabila tewas final (2015), pusingan kalah mati (2019) dan suku akhir 2023.

Sepanyol bakal menentang Sweden dalam aksi separuh akhir Piala Dunia Wanita 2023 di Stadium Eden Park pada 15 Ogos, 4 petang waktu Malaysia.