PEMBAWA bendera kontinjen negara di Olimpik Athens 2004, Bryan Nickson Lomas, mengharapkan ada peluang buatnya menabur bakti di negara ini, selepas disenarai pendek dan dipanggil temuduga minggu lalu.
Bryan, 33, antara empat nama dipanggil temuduga Persekutuan Renang Malaysia (MS) bersama Leong Mun Yee, Mohd Azheem Bahari dan Khairul Safwan Mansur, untuk jawatan pengarah teknikal terjun.
Mengakui teruja menunggu jawapan daripada MS, Bryan berkata, dia mahu lebih berhati-hati dalam membuat pilihan.
“Sudah tentu saya mahu kalau ada peluang dan diberikan pakej yang menarik.
“Sekiranya saya mendapat tawaran, sustainability projek yang mahu dilaksanakan MS… saya akan nilai dahulu.
“Saya tidak mahu jika bertukar pucuk pimpinan, program berubah dan segala-galanya bertukar,” kata Bryan dihubungi FLASH SUKAN.
Selain mencari seorang calon pengarah teknikal, MS juga sedang mencari calon Pengarah Prestasi Tinggi.
Bryan yang kini menjadi jurulatih Kelab Terjun Kazma, di Kuwait berkata, pertimbangan sewajarnya perlu dibuat memandangkan beliau bergelar jurulatih dalam dalam fasa mengukuhkan kerjayanya, bukan lagi atlet.
“Apabila berkerja, banyak yang perlu saya pertimbangkan meskipun teringin menabur bakti kepada negara yang pernah melahirkan saya sebagai seorang Olimpian.
“Saya tiada masalah di Kuwait namun saya mahu terus memajukan diri,” kata Bryan yang ditemuduga menerusi atas talian, Rabu lalu.
Bryan muncul atlet negara berusia 14 tahun pertama layak secara merit ke Olimpik Athens, Greece 2004 dalam acara 10 meter (m) platform individu.
Selepas itu, beliau turut layak ke Olimpik Beijing (China) 2008 dan Olimpik London 2012.