GOL pada minit ke-90 dari Gabriel Peres memastikan Sabah bangkit bergaya menewaskan Kuala Lumpur City FC, 3-2 dalam Liga Super yang cukup dramatik di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Sabah yang turun dalam misi melupakan kekalahan besar di tangan Johor Darul Ta’zim memulakan permainan dengan penuh semangat dengan kehadiran semula Saddil Ramdhani dan Gary Steven Robbart menambah kekuatan skuad Badak di bahagian tengah.

Bagaimanapun, KL City yang hadir tanpa kapten prolifi, Paulo Josue yang digantung perlawanan mempamerkan aksi bertahan yang baik dengan sesekali melakukan serangan balas yang mencemaskan kubu Sabah yang diketuai Tae-su.

Selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama, Sabah membuka tirai jaringan pada minit ke-51 hasil rembatan Stuart Wilkin yang dari hujung kotak penalti untuk menewaskan Kevin Ray Mendoza di gawang KL City.

Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee terus melancarkan serangan demi serangan tetapi dikejutkan dengan jaringan penyamaan dari KL City menerusi ayam tambatan mereka, Romel Morales yang menanduk masuk gol pada minit ke-60.

Skuad kendalian Nenad Bacina bagaikan dirasuk dan terus melancarkan gerakan berbahaya dan hasilnya pemain muda negara, Haqimi Azim Rosli berjaya meletakkan KL City dihadapan pada minit ke-71.

Haqimi membuka akaun jaringannya dalam Liga Super

Tersentak dengan gol itu, Sabah memperkemaskan aksi dan kapten fantastik, Park Tae-su menyelamatkan pasukan dengan gol penyamaan ketika perlawanan berbaki 10 minit dengan rembatannya yang terbias pemain KL City.

Ketika aksi hampir berakhir dengan keputusan seri, hantaran lintang Rizal Ghazali ke dalam kotak penalti KL City disambut kuisan Gabriel Peres untuk gol ketiga sekaligus menggembirakan hampir 6,500 penyokong Sabah.

Kedudukan 3-2 kekal hingga tamat perlawanan dan Sabah berjaya mengutip tiga mata untuk naik ke tangga keempat liga manakala KL City terpaksa akur dengan dua kekalahan berturut-turut dan kekal di tangga ketujuh.