MESKIPUN tewas di final Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023, ‘arkitek’ Malaysian Tigers, A Arulselvaraj yakin skuad negara, lebih bagus daripada India dari segi beberapa aspek.
Justeru, pingat emas Sukan Asia Hangzhou, mungkin bukan sekadar angan-angan selepas pemain negara berjaya menunjukkan wajah berbeza, yang selama ini tidak begitu dipamerkan.
Pada final ACT menentang India Sabtu lalu, Malaysian Tigers sempat menyeringai menunjukkan taring dan mencemaskan pengendali India, Craig Fulton di tepi padang.
Arul ketika ditanya sama ada perlawanan akhir itu menjadi penanda aras bahawa skuad bimbingannya berada di tahap yang sama dengan India, dengan nada yakin beliau tidak menafikannya.
“Pada pandangan saya, ada beberapa aspek kita lebih bagus, terutamanya dari segi jaringan gol padang dan pilihan pukulan sudut penalti.
“Namun dari segi tempo permainan, pastinya mereka lebih bagus kerana mereka pasukan di ranking ketiga dunia, sudah biasa bermain di tahap tertinggi, beraksi dalam liga pro FIH dan sering menentang pasukan berintensiti tinggi,” kata Arul.
Ketua jurulatih itu turut mengakui pemainnya mempamerkan kemampuan tahap tertinggi pada final itu dan gembira dengan prestasi sepanjang kejohanan yang menyaksikan pasukan negara muncul pasukan paling banyak menjaringkan gol padang dan lebih penting, tidak bergantung kepada satu atau dua pemain untuk mencipta jaringan, termasuk jaringan pukulan sudut penalti.
Menurutnya, banyak petunjuk berguna buatnya di ACT yang boleh digunakan untuk memperbaiki aksi di Sukan Asia nanti.
Sepanjang kempen ACT, skuad negara menang lima perlawanan dan dua kali tewas, kedua-duanya di tangan India.
Malaysian Tigers tewas 0-5 di pusingan awal round robin sebelum akur dengan kekalahan 3-4 pada final, Sabtu lalu.
Dalam pada itu, media India “The Hindus” melaporkan India berada di landasaan tepat menjelang Sukan Asia namun masih banyak kerja perlu dilakukan ketika skuad bimbingan jurulatih dari Afrika Selatan itu, menjulang trofi ACR buat kali keempat.
Fulton dilaporkan berkata, beberapa kesilapan dilakukan pemain terutamanya pertahanan sehingga membenarkan Malaysia mendahului dengan dua jaringan (3-1), namun beliau lega pemain berjaya bangkit.
“Kami boleh mencapai tahap kecergasan lebih baik dan lebih kuat, tapi paling positif adalah dari segi mental kerana apabila anda mula percaya anda mampu meningkatkan permainan,” kata Fulton, mengenai perlawanan akhir penuh dramatik itu.