SELANGOR FC berjaya menafikan kejuaraan awal Liga Super buat Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila garang membelasah Negeri Sembilan FC 4-0 dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Kekalahan itu juga menyaksikan Negeri Sembilan kekal tanpa kemenangan dalam sembilan perlawanan berturut-turut dalam liga dan semakin mendapat tekanan daripada para penyokong skuad Jang.

Selangor memulakan pesta jaringan menerusi penyerang yang mendapat kecaman hebat para penyokong, Richmond Boakye apabila menyumbat gol pertama pada minit ke-27.

Gol itu kekal hingga tamat babak pertama dengan anak-anak buah K. Devan sekali sekala melancarkan serangan balas dan menguji pintu gol Selangor menerusi situasi bola mati.

Selangor tidak memberikan peluang pada babak kedua dengan penjaring terbanyak, Ayron Del Valle meledak gol ke-17 peribadinya musim ini sebelum gandingan tiga pemain penyerang Selangor memastikan Yohandry Orozco menjaringkan gol ketiga pada minit ke-75.

Malang berganda buat Negeri Sembilan apabila Tommy Mawat Bada dilayangkan kad merah sebelum pemain yang sedang meningkat naik, Harith Haiqal menyumbang gol keempat Selangor untuk kedudukan 4-0.

Kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan dan Selangor menambah tiga mata kepada 46 mata, enam mata mengatasi Kedah di tempat ketiga namun berkelebihan dua perlawanan.

Negeri Sembilan pula kekal di tangga kesembilan dengan 21 mata selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut dan kini akan fokus kepada saingan Piala Malaysia menentang Kelantan United.