JURULATIH Johor Darul Ta’zim, Juan Antonio Miguel Garcia memohon maaf kepada para penyokong kerana pasukan kendaliannya gagal merangkul kejuaraan pertama Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) setelah ditundukkan Pahang Rangers 9-6 menerusi agregat meskipun Johor berjaya menang 3-2 dalam perlawanan tersebut.
Jelasnya, skuad tersebut baru sahaja dimulakan pada tahun ini dan mereka yakin pasukan tersebut mampu pulih menjadi lebih baik pada masa akan datang.
“Penyokong, terima kasih kerana hadir. Hari ini penyokong hadir dengan begitu banyak. Saya minta maaf kepada penyokong kerana gagal memenangi kali ini.
“Tetapi skuad kami masih baru dan saya yakin skuad ini akan berkembang pesat dengan latihan dan intensiti yang akan ditingkatkan dari masa ke masa,” jelasnya ketika ditemui media selepas perlawanan akhir kedua antara Johor Darul Ta’zim dan Pahang Rangers di Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor.
Dalam pada itu, dia turut menzahirkan kekecewaan kepada pengadil perlawanan apabila sering melakukan keputusan yang ‘berat sebelah’ memihak kepada Pahang Rangers.
“Saya rasakan permainan di gelanggang pada hari ini pengadil berat sebelah dan sering memihak kepada pasukan Pahang Rangers.
“Apabila kita melakukan kesalahan, pengadil sering memberi kesalahan. Tetapi apabila mereka melakukan kekasaran dan menolak pemain kami, mereka tidak dipersalahkan,” ujarnya.
Biarpun menyedari emosi pemain ketika ini sedikit terganggu kerana kekalahan pada aksi akhir kedua, namun dia mengingatkan pemain ia bukanlah pengakhiran kerana harus bersedia menghadapi saingan Piala Futsal Malaysia tidak lama lagi.
“Menyedari agak perit ketika tewas di laman sendiri, sudah pasti pemain agak beremosi dan kecewa.
“Namun, kita harus kembali bersedia dan bangkit kerana kita ada Piala Futsal Malaysia yang akan dilangsungkan tidak lama lagi,” katanya.