SELEPAS tiga minggu aksi yang menarik dalam Piala Dunia Wanita 2023, kini hanya empat pasukan — Sepanyol, Sweden, Australia dan England yang tinggal dalam kejohanan ini dan berpeluang untuk mendakap trofi berprestij itu.
Tersingkirnya Jepun di tangan Sweden pada peringkat suku akhir bermakna kejohanan tahun ini bakal menyaksikan juara kali pertama ditabalkan dan nama mereka akan dinobatkan dalam sejarah sembilan kali kejohanan ini.
Kekurangan pengalaman dalam menjuarai Piala Dunia menjadikan aksi separuh akhir dan akhir lebih menarik dengan Sepanyol berhadapan Sweden dan penganjur bersama, Australia bertemu pasukan pilihan, England.
Step by step… ⏳
Who will be the next #FIFAWWC champion? 🧐
— FIFA Women's World Cup (@FIFAWWC) August 13, 2023
Keempat-empat pasukan mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing dengan tidak ada pasukan yang benar-benar boleh dianggap pilihan jika dibandingkan edisi-edisi sebelumnya yang menyaksikan penguasaan Amerika Syarikat.
Dengan hanya empat perlawanan berbaki dalam kejohanan, termasuk perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, Sweden telah menjadi pasukan pilihan untuk muncul juara buat kali pertama menurut tinjauan laman data sukan, Gracenote
Berdasarkan hampir sejuta simulasi dari keseluruhan kejohanan yang dijalankan Gracenote, Sweden mempunyai 32 peratus peluang untuk muncul juara manakala Australia dan England masing-masing dengan 24 peratus manakala Sepanyol dengan 21 peratus.
Sweden adalah pasukan dengan ranking tertinggi — ketiga di dunia tetapi jika berjaya ke final dan bertemu England, skuad Blagult mungkin mempunyai memori yang kurang baik selepas tewas 4-1 ketika kali terakhir bertemu di peringkat antarabangsa pada separuh akhir Kejohanan Euro Wanita 2022.
Pastinya para penyokong di Auckland dan Sydney serta di seluruh dunia akan dihidangkan dengan pengakhiran yang menarik dalam sejarah sembilan edisi Piala Dunia Fifa Wanita.