ASTANA Qazaqstan Team muncul pasukan terawal dalam kalangan pasukan berstatus WorldTeam, mengesahkan penyertaan edisi ke-27 Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL), 23-30 September depan.

Meskipun kurang menyerlah dalam perlumbaan besar sepanjang 2023, pasukan yang boleh dikira sebagai wajah tetap LTdL itu, tetap menjadi ancaman utama pada saingan kali ini.

Berdasarkan rekod menyertai LTdL sejak 2012, pelumba Astana Alexandr Dyachenko menduduki tangga keempat individu keseluruhan pada tahun terbabit, dan bersama-sama Andrey Zeits dan Valentin Iglinsky membantu pasukan itu menduduki tangga kedua berpasukan keseluruhan, di belakang Androni Giocatoli-Venezuela.

Kemenangan peringkat pertama Astana dikecapi menerusi pelumba Itali, Andrea Guardini pada Peringkat 7 LTdL 2013 dari Kuantan ke Dungun dan Ricardo Minali menghadiahkan 2 kemenangan peringkat pada 2018.

Walaupun belum menghantar senarai nama enam pelumbanya, penganjur LTdL 2023 yakin pasukan yang diuruskan legenda dunia, Alexander Vinokourov itu, akan tetap menurunkan barisan terbaik bagi menangani cabaran perlumbaan berstatus 2 ProSeries kali ini.

Ketua Pegawai Operasi LTdL2023, Emir Abdul Jalal berkata, Astana sentiasa mahu menepati reputasinya sebagai pasukan berstatus WorldTeam dalam mana-mana perlumbaan, tidak terkecuali LTdL.

Malah, ranking terbaru pasukan itu yang berada di tangga ke-20 keseluruhan dalam kalangan pasukan profesional Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dengan hanya 4557.4 mata setakat 8 Ogos lalu, menguatkan ramalan Astana bakal menghantar pelumba terbaik dan seimbang pada edisi kali ini untuk bersaing dalam klasifikasi keseluruhan dan Asia.

“Kesempatan menambah mata ranking dalam LTdL ini pasti tidak mahu dilepaskan oleh Astana terutama menjelang penghujung musim perlumbaan.

“Walaupun mereka mungkin tidak menghantar nama seperti Mark Cavendish, Simone Velasco atau juara kebangsaan Kazakhstan Alexey Lutsenko, saya pasti akan ada nama-nama berpengalaman daripada senarai 30 pelumba pasukan itu yang akan turut serta,” kata Emir dalam satu kenyataan media.

Menurut Emir, Astana kini berada dalam keadaan terdesak untuk mengukuhkan pungutan mata dalam senarai ranking UCI bagi mengelakkan pasukan yang mempunyai reputasi besar itu terhumban ke kelompok bawahan.

Edisi ke-27 LTdL 2023 sejauh 1,280.3km yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan membuka tirai saingan di Kerteh, Terengganu pada 23 September depan, melalui 11 daripada 12 negeri di Semenanjung dan berakhir di Kuala Lumpur City Center (KLCC) pada 30 September.

Dijangkakan seramai 132 pelumba daripada 22 pasukan berstatus WorldTeam, ProTeam, Continental dan pasukan kebangsaan Malaysia akan mengambil bahagian.