TEKA-TEKI hubungan Datuk Misbun Sidek dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terjawab, selepas badan induk badminton negara itu mengumumkan kedua-dua pihak berpisah atas persetujuan bersama.
BAM dalam satu kenyataan dipetik sebagai berkata: “BAM sahkan bahawa Datuk Haji Misbun Haji Sidek telah berpisah dengan BAM menerusi penyelesaian secara baik bersama-sama dengan institusi ini. “BAM menganggap kes ini berakhir dan kembali fokus kepada persiapan menghadapi Kejohanan Remaja Dunia 2023.”
Sebelum ini FLASH SUKAN memetik sumber, mengesahkan Misbun tidak mahu menerima semula pelawaan BAM untuk kembali menggalas tugas selaku pengarah kejurulatihan perseorangan remaja negara sehingga kontrak asalnya tamat, hujung tahun ini.
Justeru kandungan surat yang dibalas semula oleh Misbun kepada BAM pada 9 Julai lalu selepas diserahkan melalui pengurus peribadi Nor Kamal Ahmad, akhirnya terjawab.
Selepas enam tahun berbakti, pada 28 Julai lalu, BAM memutuskan untuk menamatkan kontrak Misbun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan, dan mendakwa ia dicapai menerusi persetujuan bersama.
Keputusan berkenaan disahkan berkuatkuasa 1 Ogos selepas mesyuarat jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam yang turut disertai Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.
Kenyataan itu mengundang rasa tidak selesa Misbun yang membuat sidang media pada 31 Julai, menjelaskan bahawa tidak wujud persetujuan bersama, selain meluahkan rasa terkilan terhadap presiden BAM, yang dianggap menjawab panggilannya secara acuh tak acuh ketika Misbun bertanya sama ada sudah mengetahui keputusan BAM terhadapnya.
Susulan daripada kenyataan Misbun itu, BAM melalui presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mempelawa Misbun kembali semula ke badan induk berkenaan dengan menghabiskan baki kontrak asal sehingga hujung tahun ini.