PENYERANG skuad B-23 tahun kebangsaan, Aiman Afif Afizul mahu semua pemain memberikan komitmen yang tinggi dan tidak memandang rendah kekuatan lawan terutama Indonesia yang dilaporkan bakal kehilangan beberapa tonggak utama dalam Kejuaraan AFF B-23 di Rayong, Thailand.

Pemain muda Kedah itu juga merasakan kejuaraan ini adalah peluang terbaik buat para pemain yang dipilih untuk menunjukkan kemampuan masing-masing untuk menghadapi kejohanan-kejohanan akan datang.

“Skuad kali ini banyak muka-muka baharu dan ini adalah peluang buat semua pemain untuk tunjuk kemampuan ke kejohanan seterusnya. Selain itu keserasian kami juga semakin hari semakin baik dan kita akan perbaiki lagi dalam perkara ini.

“Kumpulan ini agak sukar meskipun hanya ada tiga pasukan sahaja dan saya rasa kita kena dapatkan mata dalam setiap perlawanan . Indonesia meskipun tanpa pemain utama, kita tidak boleh pandang rendah dan perlu berikan yang terbaik dan terus berjuang,” katanya ketika ditemui media di sesi latihan rasmi pasukan.

Aiman juga sudah maklum tentang sasaran yang diletakkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk layak ke final dan dia mahu menggunakan kejohanan ini sebagai medan untuk memikat barisan kejurulatihan serta dia juga tidak tertekan untuk menjaringkan gol walaupun diletakkan sebagai penyerang utama.

“Setiap kejohanan kita sasar untuk ke final. Semua pemain perlu buat yang terbaik dan bagi satu komitmen untuk kita capai sasaran kita dan untuk Kejuaraan AFF ini juga adalah satu platform untuk kita pikat jurulatih ke kejohanan AFC nanti.

“Menjaringkan gol adalah satu tanggungjawab yang besar buat saya dan dengan pemain yang ada, ini adalah satu pasukan yang baik untuk kita beraksi dalam kejohanan ini. Bagi saya setiap pemain pun ada peluang untuk jaringkan gol,” jelasnya.

Skuad B-23 tahun kebangsaan akan memulakan cabaran menentang Indonesia pada Jumaat, 19 Ogos sebelum bertemu Timor Leste pada Selasa, 22 Ogos untuk menentukan tempat ke separuh akhir.