SERAMAI 12 pemain dari Liga MBSB Bank Championship 2023 berpeluang merasai pengalaman berlatih bersama-sama kelab Liga Perdana Inggeris, Wolverhampton Wanderers pada Januari atau Februari 2024 bersempena kempen ‘Dare to Dream’ yang dianjurkan MBSB Bank.
Kempen yang julung kalinya diperkenalkan ini bakal menyaksikan pemain-pemain ini akan dipilih berdasarkan cabutan pemegang akaun, jumlah simpanan serta terma dan syarat lain yang akan dikongsikan dari semasa ke semasa.
Kos penerbangan, tempat tinggal serta perkara-perkara lain yang berkaitan akan ditanggung sepenuhnya oleh MBSB Bank Berhad yang juga Penaja Utama liga amatur kebangsaan yang dahulunya dikenali sebagai Liga M3.
Selain dari para pemain, MBSB Bank juga membuka kempen ini kepada pelanggan mereka yang lain dengan menawarkan lapan tiket ke Old Trafford bagi menyaksikan aksi Manchester United dan 8,000 hadiah eksklusif kepada pemenang.
MBSB Bank juga mempunyai perancangan menyeluruh buat semua pasukan yang bertanding dengan secara rasminya untuk membuka akaun simpanan dengan pelbagai faedah, produk serta kemudahan yang lain sebagai Pemegang Akaun bersama MBSB Bank.
Sebagai permulaan, AFL dan MBSB Bank Berhad juga amat berbesar hati untuk mengkreditkan jumlah wang RM7,000 ke dalam akaun pasukan setelah diaktifkan. Insentif yang selebihnya akan dikreditkan di penghujung musim 2023.
Usaha MBSB Bank ini dilihat sebagai langkah untuk mempertingkatkan kualiti liga amatur ini selain memberi peluang kepada para pemain untuk merasai pengalaman berlatih di Eropah.