MANCHESTER City menjuarai Piala Super Eropah selepas menang 5-4 (1-1) menerusi penentuan penalti ke atas Sevilla di Stadium Georgios Karaiskakis, Piraeus, awal pagi Khamis.

Cole Palmer mencipta peluang pertama Man City pada minit keenam. Dia melepaskan rembatan dari luar kotak penalti namun tepat ke dakapan Bono.

Man City mendapat peluang seterusnya pada minit ke-17. Kali ini Jack Grealish melakukan rembatan dari kotak penalti , tetapi masih mampu ditepis Bono.

Sebaliknya, Sevilla pula yang berjaya mendahului 1-0 mengatasi Man City pada minit ke-26. Umpanan silang Marcos Acuna dapat ditanduk cantik Youssef En-Nesyri untuk menggegar gawang dikemudi Ederson.

Namun, pada babak kedua Man City menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-63 menerusi Palmer dan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Kegagalan mencari pemenang selepas tamat masa sebenar memaksa perlawanan ini perlu ditentukan menerusi sepakan penalti.

Dalam penentuan sepakan penalti, lima penyepak Man City iaitu Haaland, Julian Alvarez, Mateo Kovacic, Grealish dan Kyle Walker berjaya menjalankan tugas mereka.

Sementara itu di kem Sevilla Lucas Ocampos, Rafa Mir, Ivan Rakitic, Gonzalo Montiel berjaya memperdayakan Ederson tetapi Nemanja Gudelj gagal menjalankan tugasnya sebagai penyepak terakhir dan membuatkan Los Nervionenses tewas 4-5.

Barisan pemain : 
Manchester City (4-2-3-1): Ederson; Kyle Walker, Manuel Akanji, Josko Gvardiol, Nathan Ake; Mateo Kovacic, Rodri; Cole Palmer, Phil Foden, Jack Grealish; Erling Haaland

Sevilla (4-2-3-1): Bono; Jesus Navas, Loic Bade, Nemanja Gudelj, Marcos Acuna; Joan Jordan, Ivan Rakitic; Lucas Ocampos, Oliver Torres, Erik Lamela; Youssef En-Nesyri