KEJAYAAN JDT memenangi Piala FA bulan lalu dan dua lagi kemenangan dalam Liga Super dan Piala Malaysia menyaksikan Harimau Selatan berjaya naik empat anak tangga ke tangga ke-16 dalam ranking kelab Asia menurut laman Opta Analyst .

Menerusi data yang dikemas kini oleh laman itu, skuad kendalian Esteban Solari kini naik ke tangga 364 dunia berbanding ke-415 dunia dan ke-16 Asia berbanding ke-20 seperti kemas kini beberapa minggu lalu.

JDT yang semakin menghampiri kejuaraan ke-10 berturut-turut Liga Super ini juga kini kelab nombor satu di ASEAN merampas kedudukan gergasi Thailand, Buriram United dan menjadi satu-satunya wakil tunggal Malaysia yang tersenarai dalam kelompok kelab 400 terbaik di dunia.

Ranking terkini JDT menurut Opta Analyst

Kejayaan JDT itu turut mendapat perhatian media Sepanyol, AS yang berpangkalan di Madrid yang menyiarkan temubual mereka bersama-sama Esteban Solari yang menyifatkan Harimau Selatan sebagai sebuah kelab yang lengkap dan mempunyai lokasi yang strategik menurut hantaran yang dimuat naik laman sosial rasmi kelab.

“Media Sepanyol AS memaparkan temubual bersama ketua jurulatih Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, Esteban Solari mengenai projek Harimau Selatan dan visi pemilik kelab, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dalam memartabatkan kelab bola sepak tersebut.

“Antara perkara yang diutarakan termasuk kemudahan terkini serba canggih kelab yang dilihat lebih baik daripada kebanyakan kelab divisyen satu di Eropah, struktur pengurusan, aspirasi dalam Liga Juara-Juara AFC dan lokasi strategik negeri Johor.

“Tabloid yang berpangkalan di Madrid itu turut menyifatkan JDT sebagai kelab “tanpa saingan di dalam negara” berikutan rekod kemenangan 100% dalam kempen liga 2023 dan “yang berusaha untuk ke peringkat lebih tinggi”, tulis hantaran itu.

Kejayaan dan perhatian dunia ini menjadikan nilai komersil JDT semakin meningkat dan pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meninggalkan komen menyatakan mereka adalah Peneraju dan bukannya Muzium.

JDT boleh memperbaiki kedudukan ranking dalam kelab Asia apabila bakal bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC dengan undian peringkat kumpulan bakal diadakan pada 24 Ogos nanti.