PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengucapkan syabas buat Fergus Tierney yang muncul wira Malaysia selepas dua jaringannya membantu skuad B-23 tahun kebangsaan mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Indonesia pada Jumaat.

TMJ memuatnaik hantaran di laman insta story peribadinya sebagai membalas hantaran awal yang dilakukan Fergus yang mengucapkan terima kasih atas sokongannya ke atas karier anak muda kelahiran Scotland itu.

“Terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor. Perkara ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan Tunku dari permulaan,” tulis Fergus dalam hantaran di laman Instagram peribadinya.

Ianya mendapat balasan daripada TMJ sendiri yang menulis “Well done Fergus” sebagai tanda sokongan dan gembira dengan pencapaian yang dilakukan oleh pemain Johor Darul Ta’zim II itu.

Dalam perlawanan Kejuaraan Piala AFF B-23 di Rayong, Thailand itu, Fergus yang masuk pada babak kedua memberikan impak yang baik buat pasukan apabila menyempurnakan penalti dan satu lagi gol yang cantik untuk Malaysia bangkit dari ketinggalan untuk mencatat kemenangan.

Dua gol itu sudah cukup untuk memberikan tiga mata berharga buat Malaysia dan kini hanya perlu mendapatkan keputusan positif apabila berhadapan Timor Leste pada Rabu untuk layak ke peringkat separuh akhir.