INTER Club Football League (ICFL) memperkukuh jenamanya sebagai penganjur liga bola sepak peringkat akar umbi, apabila berjaya melaksanakan ICFL Asean Cup 2023 yang turut melibatkan pasukan dari Indonesia.

Kejohanan berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Tigre Arena, Sungai Buloh itu membabitkan sembilan pasukan tempatan dan satu lagi wakil daripada Indonesia yang diwakili Askab PSSI Banyuwangi, kelab pembangunan di negara berkenaan.

Difahamkan, pada awalnya kejohanan ini membabitkan 12 pasukan namun dua pasukan tempatan terpaksa menarik diri sekali gus menyaksikan sembilan kelab pembangunan bola sepak dari seluruh memeriahkan acara bersama satu pasukan Indonesia.

Presiden ICFL, Datuk Kamil Mokthar mahu lebih banyak pembabitan pasukan dari negara luar selepas ini.

Yuran penyertaan dikenakan dan setiap pasukan merebut kejuaraan yang menawarkan wang tunai RM3,000, bersama piala dan sijil, manakala tempat kedua pula bbakal membawa pulang wang tunai RM1,000 dan tempat ketiga, RM500.

Kejohanan membabitkan peringkat umur bawah 17 tahun dengan format liga sepusingan, dibahagi kepada dua kumpulan dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir sebelum dua pasukan akan berentap di final.

“Penganjuran kejohanan ini menandakan ICFL selangkah ke hadapan dalam penganjuran liga bola sepak di peringkat akar umbi. Keputusan untuk membuka penyertaan kepada pasukan luar negara ada untuk menambah prestij acara anjuran ICFL.

“Kita percaya, kejohanan sebegini, dinanti pasukan dari dalam dan luar negara kerana mereka sememangnya mencari kejohanan yang kompetitif untuk mengasah bakat pemain dan menilai kebolehan pasukan.

“Kita akan terus menganjurkan kejohanan ke peringkat tertinggi kerana ICFL sentiasa melihat ke hadapan untuk menganjurkan kejohanan lebih besar dan ini juga merupakan sebahagian usaha ICFL untuk membangunkan bola sepak negara,” kata Presiden ICFL, Datuk Kamil Mokthar dalam satu kenyataan.

Sementara itu katanya, IFCL turut menganjurkan kejohanan Supa Jaguh ICFL bawah 10 dan 12 tahun dengan matlamat mencari pasukan B-10 untuk mewakili ICFL ke Kejohanan Peringkat umur yang berlangsung di Thailand pada Disember depan.

“Kita mencari satu pasukan untuk dihantar ke Thailand untuk menyertai kejohanan yang dianjurkan oleh kelab gergasi Sepanyol, Barcelona. Kita akan taja sepenuhnya pasukan termasuk jurulatih mereka untuk menyertai kejohanan di Thailand itu,” kata Kamil.