KELEBIHAN agregat 4-1 yang dibawa dari perlawanan pertama Pusingan 16 Piala Malaysia memastikan Selangor FC layak ke peringkat suku akhir meskipun tewas 1-2 kepada PDRM FC dalam aksi perlawanan kedua di Stadium MBPJ Kelana Jaya.

Walaupun berkelebihan tiga jaringan, pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe tetap menurunkan barisan terbaik dengan pemain yang sedang berada dalam tahap prestasi terbaik, Yohandry Orozco diberikan peluang untuk memulakan perlawanan.

Percaturan ini nyata berjaya apabila Orozco sekali lagi meledak jaringan pembukaan buat Gergasi Merah selepas 25 minit perlawanan berlangsung untuk meletakkan Selangor lebih selesa dengan aggregat 5-1.

Gol itu menambahkan lagi semangat barisan pemain Selangor namun PDRM bijak menghidu peluang dan mengambil kesempatan kesilapan pertahanan Selangor untuk menyamakan kedudukan menerusi Nabil Latpi hanya berselang tujuh minit.

Perlawanan kedua-dua pasukan menjadi lebih seimbang selepas itu namun tidak banyak percubaan berbahaya dapat dilakukan untuk kedudukan 1-1 kekal hingga tamat babak pertama.

Tan Cheng Hoe melakukan beberapa pertukaran pada permulaan babak kedua dengan mengeluarkan Orozco dan membawa masuk penjaring terbanyak, Ayron Del Valle untuk menambah kekuatan di bahagian serangan.

Begitu juga dengan pengendali baharu PDRM FC, Datuk Yunus Alif yang memasukkan dua penyerang, Hadi Fayyadh dan Bruno Suzuki untuk mengurangkan defisit aggregat.

Tindakan itu membuahkan hasil apabila serangan pada minit-minit terakhir memberikan gol kedua kepada Sang Saka Biru apabila pertahanan Selangor, Harith Haiqal tertampan ke gawang sendiri untuk mengejutkan 3,041 penyokong yang hadir.

Kekalahan ini bagaimanapun tidak menjejaskan langkah Selangor ke peringkat suku akhir dengan aggregat 5-3 dan bakal bertemu Terengganu FC.