PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari berpuas hati dengan kemenangan besar pasukannya yang membelasah Kelantan FC 10-0 untuk layak ke suku akhir dengan agregat 15-1 dalam Perlawanan Kedua Pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.

Namun begitu Solari menafikan bahawa niat JDT untuk memadam rekod kemenangan besar milik Terengganu FC keatas lawan yang sama sebaliknya menganggap mereka tidak pernah berniat untuk menang besar dengan mana-mana pasukan sekalipun dan hanya bersaing sesama mereka.

“Bersaing dengan diri sendiri adalah cabaran untuk setiap pemain supaya menjadi lebih baik dan kami sentiasa menghormati mana-mana pasukan dan tiada niat untuk menang dengan jaringan besar tetapi ini semuanya adalah hasil kerja keras setiap pemain,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Solari turut gembira apabila rombakan pasukan yang dilakukan membuahkan hasil apabila aksi yang ditunjukkan pemain-pemain yang diberikan peluang beraksi tidak mengecewakan malah beraksi dengan corak permainan berintensiti tinggi.

“Apa yang pemain sajikan terutama pemain yang jarang diberi peluang beraksi menggembirakan kami di barisan kejurulatihan. Selain itu, latihan yang intensif dan berintensiti tinggi juga memainkan peranan penting buat pemain untuk menyerlah dalam perlawanan itu.

“Saya tidak nafikan pemain seperti Daryl Sham, Asyar Hadi, Safawi Rasid dan Syami Safari menunjuk sesuatu yang menarik dalam perlawanan ini malah Daryl dan Asyar juga masing-masing turut menjaringkan satu gol.

“Pemain-pemain lain juga membentuk persefahaman yang mantap sehingga menyukarkan pasukan lawan melakukan serangan berbahaya dan disiplin taktikal setiap pemain juga begitu baik tanpa membuat kesilapan selain setiap `set-piece‘ yang dibuat tampak berkesan,” jelasnya

Harimau Selatan mencipta rekod baharu kejohanan Piala Malaysia apabila mencatat kemenangan dengan aggregat terbesar, 15-1 hasil jaringan hatrik Bergson Da Silva dan dua jaringan Takahiro Kunimoto serta masing-masing satu dari Juan Muniz, Daryl Syam, Heberty Fernandes, Arif Aiman Hanapi dan Aysar Hadi untuk ke suku akhir bertemu sama ada Negeri Sembilan FC atau Kelantan United FC.