AIRA Azman mengakhiri saingan Kejohanan Skuasy Remaja Individu Asia dengan menggondol kejuaraan keenam, selepas menepati ramalan sebagai pilihan utama kejohanan kali ke-30 itu.

Dalam aksi final yang berlangsung di Dewan Xiqang, Dalian, China, Aira beraksi di finak perempuan bawah 19 (B-19) tahun berdepan rakan senegara, K Sehveetrraa 9-11, 11-6, 11-8, 11-1.

Aira Azman julang trofi kejuaraan remaja Asia terakhirnya yang dimenangi pada Ahad. -Pix Instagram Aira Azman

Aira menerusi media sosial Instagram miliknya membuat hantaran ‘Mission accomplished’, menandakan dia berjaya melaksanakan impian dan matlamat merajai kejohanan remaja di peringkat Asia.

“Saya amat gembira dengan prestasi saya sepanjang kejohanan ini. Ia bukan mudah untuk saya kerana sebagai penyandang juara, ada banyak tekanan yang saya hadapi untuk mempertahankan kejuaraan ini,” jelas Aira.

Prestasi Aira Azman sepanjang tahun ini cukup memberangsangkan. -Pix Instagram Aira Azman

Untuk rekod, Aira dua kali muncul juara perempuan B-13 pada 2016 dan 2017, B-15 (2018, 2019) dan B-19 (2022, 2023).

Julai lalu, Aira muncul naib juara Kejohanan Remaja Dunia selepas tewas kepada jagoan Mesir, Amina Orfi, 8-11, 5-11, 1-11.