NG Joe Ee muncul satu-satunya atlet wanita berada dalam senarai lima calon Atlet Terbaik Anugerah Sukan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2022 yang bakal berlangsung pada  29 Ogos ini.

Pencapaian muncul satu-satunya atlet negara di Sukan Komanwel Birmingham memenangi dua pingat emas iaitu dalam acara apparatus bola dan riben, di temasya itu tahun lalu, melayakkan Joe Ee menyaingi pencapaian besar empat calon lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton), Lim Kok Leong (snuker), Mohd Syarul Azman Mahen atau Mike Mahen (bina badan) dan Muhammad Aniq Kasdan (angkat berat).

Presiden SAM, Norismadi Abdul Manap (tengah), Pengerusi Jawatankuasa Anugerah SAM Hazreen Mubarak, Pengurus Perhubungan Kerajaan & Industri F&N Holdings Bhd, Norazrin Norsyam Yee, pada sidang media Anugerah SAM 2022, di Hotel Sunway.

Namun cabaran amat getir untuk pemenang Olahragawati Kebangsaan, Anugerah Sukan Negara 2022, Joe Ee memecah monopoli calon lelaki dan mengembalikan gelaran Atlet Terbaik Anugerah SAM kepada wanita, yang kali terakhir dimenangi atlet terjun, Pandelela Rinong pada 2015.

Semenjak Anugerah SAM diperkenalkan pada 1995, lapan kali anugerah Atlet Terbaik SAM dimenangi calon wanita, iaitu Nurul Huda Baharin dalam sukan menembak (1997), Nicol David dari skuasy (2005), Wong Mew Choo dari badminton (2007), Pandelela (2010), Nur Suryani Taibi dari menembak (2011), Pandelela (2012), Nicol (2014), Pandelela (2015) selain S Premila dari karate pemenang bersama Lim Keng Liat (2002).

Sementara itu, kejayaan meraih gelaran Kejohanan Badminton Dunia pertama buat negara di Jepun, meletakkan Aaron-Wooi Yik sebagai calon paling “hangat” untuk memenangi anugerah itu.


Gandingan yang kini di ranking keempat dunia menamatkan penantian 45 tahun untuk meraih gelaran dunia, dengan menewaskan Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan tahun lalu.

Satu lagi kejutan dilakar pada 2022 apabila Kok Leong dari sukan snuker dan billiard dinobat sebagai juara dunia pada Kejohanan Snuker Amatur Dunia 2022 di Antalya Turkiye.

Atlet berusia 27 tahun itu menundukkan juara Asia dari Iran, Amir Sarkosh dengan kemenangan 5-0.

Badang negara, Mike Mahen turut mencoret nota manis pada 2022, apabila muncul juara dunia Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia.

Atlet berusia 49 tahun itu meraih kejuaraan di kejohanan sama buat kali kelima selepas menjulang kejuaraan pada 2016, 2017, 2018 dan 2019.

Sukan Komanwel 2022: Emas pertama Malaysia dari Aniq!

Aniq Kasdan

Aniq Kasdan pula mencipta sensasi apabila memecah rekod Remaja Asia dalam sukan angkat berat, kategori 61 kilogram (kg) di Kejohanan Angkat Berat Asia 2022 di Manama, Bahrain.

Dia melakukan angkatan 160kg, mengatasi rekod dipegang Kim Chung-Guk dari Korea Utara.

Untuk rekod, Datuk Azizulhasni Awang dari sukan berbasikal memenangi Anugerah Atlet Terbaik SAM tahun lalu.

Dalam pada itu, atlet angkat berat Bonnie Bunyau mengetuai pencalonan anugerah Atlet Para Terbaik SAM 2022.

Atlet power lifting negara itu bakal dicabar hebat Cheah Like Hou dari sukan badminton, Brenda Amelia Larry (renang), Nani Shahiera Zawawi (lompat jauh) dan Carmen Lim (renang).

Anugerah SAM 2022 mempertandingkan tujuh anugerah kewartawanan sukan iaitu laporan berita terbaik media cetak, laporan berita terbaik media elektronik, ulasan berita terbaik media cetak, ulasan berita terbaik media elektronik, laporan khas terbaik terbuka, fotografi terbaik, anugerah Siebel selain tujuh anugerah tambahan seperti pengulas sukan popular yang akan dibuka undian kepada orang awam.