PASUKAN LMS Tigress belum mahu menekan butang panik meskipun hanya meraih satu mata selepas tiga perlawanan dalam Liga Wanita Nasional (LWN) dengan kekalahan terbaharu 0-5 kepada Sabah menambah tekanan kepada pasukan.
Kapten pasukan, Fatin Shahida Azmi bagaimanapun sedikit risau dengan prestasi pasukannya dan berharap mereka dapat bangkit dalam aksi seterusnya bagi membina semula keyakinan dalam pasukan.
“Kita tahu kelebihan pasukan Sabah sebagai pasukan pilihan dengan ramai pemain berpengalaman. Namun kami juga mempunyai pemain berpengalaman tetapi kami perlu perbaiki tahap kecergasan dan kesilapan-kesilapan kecil dalam perlawanan ini menyebabkan kami tewas.
“Ada sedikit risau dengan keadaan pasukan ketika ini dan harap para pemain lebih konsisten dan perbaiki banyak perkara dan saya rasakan persembahan kami agak teruk dalam perlawanan ini,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan.
Namun begitu, Fatin tidak mahu kebimbangan itu menjadi beban kerana liga yang masih panjang dan kembalinya Steffi Sidhu dalam pasukan selepas ini dijangka dapat meningkatkan lagi semangat para pemain untuk beraksi lebih baik.
“Liga masih panjang dan kami perlu kembali semula sebagai satu pasukan dan harap kehadiran Steffi dalam pasukan dapat mengembalikan semula semangat pemain selepas ini,” tambahnya.
Selepas tiga perlawanan, LMS Tigress yang bakal mendapat jurulatih baharu hanya berjaya meraih satu mata hasil keputusan seri dengan dua kekalahan.