KETUA Jurulatih skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan, E. Elavarasan mahu anak-anak buahnya berhati-hati dan tidak mengambil mudah cabaran Timor Leste yang mungkin boleh memadamkan peluang Malaysia ke separuh akhir Kejuaraan Piala AFF B-23.
Dia juga gembira dengan peningkatan yang ditunjukkan para pemain terutama dari segi keserasian dan pemahaman terhadap taktikal dan mahu tiga mata penuh dicapai sekaligus layak ke separuh akhir.
“Kalau kita tengok persembahan Timor Leste tahun lepas, mereka sebagai semi finalis dan kita tidak boleh menganggap mereka sebagai pasukan yang biasa-biasa.
“Kemenangan 1-0 Indonesia keatas mereka juga membuatkan kita kena berhati-hati kerana kita sasarkan untuk layak ke separuh akhir,” katanya selepas sesi latihan di Rayong, Thailand.
Ela juga menegaskan dia akan meneliti keadaan semasa perlawanan untuk melakukan pertukaran pemain atau membuat perubahan bagi memastikan tiga mata penuh menjadi milik Malaysia.
“Kita perlu berusaha dan apabila perlawanan berlangsung kita akan sesuaikan dengan keadaan dan akan cuba yang terbaik untuk dapatkan keputusan yang baik pada perlawanan ini.
“Pasukan ini dapat latihan tambahan dua tiga hari dan dapat dilihat persefahaman pemain lebih bagus dan pemahaman pemain juga semakin baik dan ini peluang terbaik untuk kita ke separuh akhir dengan pemain juga mempunyai matlamat untuk mendapatkan sesuatu dari kejuaraan ini,” tambahnya.
Malaysia akan bertemu Timor Leste pada Selasa dengan keputusan positif akan memastikan Harimau Malaya muncul pemenang Kumpulan B seterusnya layak ke peringkat separuh akhir bertemu juara kumpulan C sama ada Vietnam atau Filipina.