PEREBUTAN kejuaraan sukan Tenis terbesar Malaysia,  KL Open 2023 bakal membuka tirai bermula 29 Ogos hingga 3 September 2023, bertempat di Pusat Tenis Negara, Jalan Sultan Abdul Halim dan Gelanggang Tenis Kompleks Sukan Titiwangsa.

Sebanyak 10 kategori peserta akan mengerah keringat untuk merebut hadiah wang tunai tertinggi dan terbesar di Malaysia yang bernilai RM72,000.

Di antara kategori yang dipertandingkan adalah acara Perseorangan dan Beregu Terbuka lelaki dan wanita, acara Masters Perseorangan dan Beregu lelaki bagi kategori 35 tahun ke atas, 45 tahun ke atas dan Veteran 55 tahun ke atas.

KL Open 2023 telah menerima sebanyak 225 penyertaan pemain dan merupakan sambutan yang menggalakkan dari penggiat Tennis bukan sahaja di Malaysia, malah dari luar negara seperti Indonesia. Penyertaan telah dibuka bermula dari 12 Ogos 2023 yang lepas dan pengumuman telah dilakukan melalui platform media sosial Tennis KL iaitu Instagram, Facebook dan Tiktok. Penyertaan telah ditutup pada 21 Ogos 2023.

Sebagai tambahan, acara perseorangan lelaki terbuka kekal sebagai acara kegemaran sejak dari 20 tahun lepas, di mana pihak KL Open 2023 telah menerima lebih dari 140 penyertaan dan merupakan penyertaan terbesar bagi kategori ini. Juara bertahan KL

Pada edisi lalu,  Koay Hao Sheng dari Malaysia turut menempah penyertaan di kejohanan kali ini. Anak jati Perlis ini ingin mengekalkan momentum kemenangan dari KL Open 2022 hingga terkini dengan menjuarai beberapa kejohanan kebangsaan dan antarabangsa. Hao Sheng merupakan pemain ‘favourite’ pada edisi kali ini.

KL Open 2023 pada kali ini turut menyaksikan penglibatan barisan pemain Sukma Kuala Lumpur seperti Darrshan, Haydee, Izran, Izmal, Miasara dan Nao Phang untuk acara Terbuka Lelaki & Wanita sebagai persediaan untuk Sukma 2024 di Kuching, Sarawak.

Sementara itu, KL Open 2023 bakal menampilkan kelainan antaranya adalah penganjuran Festival Tenis bersempena cuti sekolah yang akan datang dan mendapat sokongan penuh dari Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ia akan diadakan di Gelanggang Tenis Tertutup, Pusat Tenis Negara pada 2 September 2023, bermula jam 9 pagi hingga 12 tengahari dan terbuka kepada semua murid sekolah rendah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor untuk memberi pendedahan awal tentang permainan tenis. Mereka yang berminat boleh mendaftar melalui Kod QR yang disediakan di poster rasmi.