PASUKAN Taekwondo UiTM berada dalam kelas tersendiri apabila muncul juara keseluruhan dalam acara Taekwondo Karnival Sukan MASUM Fasa 1 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan pada 14 hingga 20 Ogos 2023 yang lalu.
Pasukan Taekwondo UiTM berjaya memperolehi enam pingat emas, empat pingat perak dan lapan pingat gangsa. Kejayaan ini menunjukkan UiTM mampu untuk bersaing dengan atlet-atlet peringkat antarabangsa.
Nur Ellmira Zulkiflee melengkapkan pingat emas ke-6 UiTM dalam kategori welterweight dengan mengalahkan atlet dari Unimap. Perlawanan berlangsung agak sengit tetapi Ellmira masih mampu mengalahkan pihak lawan.
Sementara itu, atlet UiTM turut menyumbangkan pingat emas dalam lima kategori lagi iaitu pomsae (L) berkumpulan, pomsae campuran, fly weight wanita, bantam weight wanita dan middle weight Wanita.
Pengarah Pusat Sukan UiTM, Ahmad Tarmizy Mohammed berkata, pihaknya sangat berpuas hati dengan semangat yang dipamerkan oleh atlet.
“Melihat dari kesungguhan yang diberikan sewaktu latihan, kita telah nampak warna pingat yang bakal kita miliki,” katanya.