MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Husni Idrus, pemain Skuad Piala Presiden negeri itu yang meninggal dunia lewat malam Rabu lepas.
Amirudin yang juga bekas pengurus pasukan bola sepak Selangor FA meluang masa bertemu keluarga Allahyarham selain turut menghulurkan sumbangan wang tunai.
“Menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Husni bin Idrus, pemain Skuad Piala Presiden @selangorfc yang meninggal dunia baru-baru ini.
“Mendoakan agar keluarga Allahyarham tabah dan sabar menghadapi ujian. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, ditempatkan di kalangan orang beriman,” ciapnya menerusi Twitter pada Selasa.
Portal ini melaporkan pemain berusia 21 tahun itu rebah ketika berada di sebuah restoran dan kejadian tersebut disahkan oleh Selangor FC menerusi Facebook rasmi kelab.
Allahyarham, turut beraksi pada perlawanan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Kelana Jaya yang menyaksikan Selangor tewas 3-0, namun digantikan dengan Muhammad Addim Muzahhir Saipu Azlan pada minit ke-66.