PENGENDALI Kuala Lumpur City FC, Nenad Bacina gembira dengan persembahan yang ditunjukkan anak-anak buahnya ketika membelasah Perak FC 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh pada Ahad.
Empat jaringan dari empat pemain — Tchetche Kipre, Sebastian Avanzini, Paulo Josue dan Sean Gianneli sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat KL City dan juga kemenangan kelapan The City Boys dalam liga musim ini.
“Berdasarkan keputusan ianya sangat baik buat kami. Saya gembira dan bangga dengan persembahan yang ditunjukkan para pemain kerana berjaya sukar untuk saya meyakinkan mereka yang mereka boleh bermain bola sepak yang baik.
“Perak juga sedang berada dalam momentum yang baik. Kami tahu mereka akan turun dan bermain habis-habisan tetapi kami berjaya mengawal rentak permainan, menjaringkan empat gol dan mengekalkan ‘clean sheet‘ yang mana sangat penting buat kami kerana dua perlawanan sebelum ini kami bolos lima kali,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Nenad juga turut gembira dengan kehadiran semula kapten pasukan Paulo Josue yang berjaya menaikkan semangat para pemain dan membawa pasukan mendapatkan tiga mata meskipun dalam keadaan yang masih belum cukup cergas.
“Paulo adalah pemimpin buat KL City sejak sekian lama dan kehadiran semula dia dalam pasukan memberikan tonik tambahan meskipun dia masih belum cergas sepenuhnya namun dia tetap memainkan peranannya dalam perlawanan ini dan membawa pasukan ini mendapat kemenangan ini,” jelasnya.
Barisan pemain KL City akan diberikan cuti sempena kalendar antarabangsa Fifa dan Nenad berharap dapat mengekalkan momentum kemenangan apabila kembali beraksi menentang Sri Pahang dalam saingan Piala Malaysia menentang Sri Pahang pertengahan September nanti.
“Kami akan berehat seketika dengan pemain akan diberikan cuti beberapa hari dan apabila kembali untuk latihan, kami akan kehilangan beberapa pemain yang dipanggil ke tugasan skuad kebangsaan Malaysia dan Filipina. Kami berharap dapat membuat persediaan yang baik dan tidak sabar untuk menghadapi Sri Pahang dalam aksi suku akhir Piala Malaysia,” katanya.