SERAMAI 40 pengadil Malaysia bersama 14 ‘replay operator’ kini menjalani latihan fasa kedua Video Bantuan Pengadil (VAR) bermula 26 Ogos hingga 11 September 2023 sebagai langkah persiapan awal pelaksanaan teknologi itu di Liga Malaysia.
Sebelum ini, latihan fasa pertama VAR telah dijalankan pada 15 dan 16 Julai 2023 secara dalam talian.
Langkah awal yang diambil ini adalah sebahagian daripada inisiatif Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang mahu arena bola sepak negara berjalan seiring dengan perkembangan yang berlaku di peringkat antarabangsa terutama sekali di peringkat Fifa.
Kursus selama 17 hari di Wisma FAM itu telah dikendalikan oleh Instruktur VAR FIFA, Tamer Dorry dari Mesir dan dibantu oleh Pakar Teknologi VAR, Sebastian Andrzej Szelag dari Poland.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman juga turut meluangkan masa untuk bertemu barisan pengadil-pengadil selain melihat sendiri sistem serta teknologi VAR petang tadi.
Bagi latihan fasa kedua VAR kali ini, ia meliputi aspek penggunaan simulator VAR dengan menggunakan sebanyak 150 klip video bagi setiap pengadil. Setiap klip video yang digunakan telah diiktiraf oleh FIFA untuk digunakan bagi tujuan latihan.
Setiap proses latihan ini akan memberi penekanan kepada aspek penggunaan teknologi simulator VAR yang berkonsepkan ‘minimum interference, maximum benefits’ tanpa merencatkan kelancaran perlawanan.
Latihan VAR ini akan diteruskan dengan latihan fasa ketiga yang dijangka diadakan pada bulan November dan Disember 2023.
Terdahulu FAM dikatakan akan melaksanakan penggunaan VAR ketika peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim ini dan dengan kursus yang telah dijalani, tidak mustahil perkara ini boleh dilaksanakan.