KEMAMPUAN skuad hoki wanita 5 sepasukan negara, merampas slot terakhir untuk layak ke Piala Dunia (W) Hoki 5’s di Oman Januari tahun hadapan, satu pencapaian luar biasa.

Ketua jurulatih, Nabil Fiqri Mohd Noor berkata, selepas menjadi belasahan di peringkat kumpulan Elite, tewas kepada India, Thailand dan Jepun, selain dibelasah kali kedua oleh India di separuh akhir, prestasi ditampilkan anak-anak didiknya pada perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Asia Hoki 5’s 2023 menentang Indonesia, bukannya dirancang.

Skuad wanita 5’s negara memburu gol penyamaan ketika menentang Indonesia pada penentuan tempat ketiga Hoki Piala Asia 5’s di Salalah, Oman. -Pix AHF

“Persembahan yang ditampilkan bukan seperti dirancang, namun pemain menunjukkan keinginan tinggi pada 10 minit terakhir untuk menyamakan kedudukan dan mengheret perlawanan ke penentuan shoot out, sebelum memenangi perlawanan.

“Objektif kejohanan tercapai, namun untuk menghadapi kejohanan Piala Dunia, persiapan rapi perlu dilakukan terutama dari segi kecergasan dan ketahanan mental,” kata Nabil.

Kejayaan skuad wanita itu diraih apabila mencatat kemenangan dramatik 2-1 ke atas Indonesia menerusi penentuan shoot-out, selepas terikat 4-4 dalam tempoh 30 minit permainan.

Pemain negara J Thibatharshini mencabar pemain Indonesia dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Hoki Piala Asia 5’s. -Pix AHF

Lebih menarik, kejayaan itu hadir selepas skuad bimbingan Nabil ketinggalan tiga gol kepada Indonesia yang meraih jaringan menerusi Paulina Ronsumbre (m-8) dan Salma Maulani pada minit ke-10 serta 13.

Selepas itu, Zati Alyani Muhamad Zubir menjaringkan gol pertama skuad negara pada minit ke-14 namun tidak bertahan lama apabila Indonesia kembali menjadikan kedudukan 4-1 menerusi jaringan keempat daripada Nisa Indira dalam tempoh beberapa saat selepas itu.

Indonesia yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah ‘berputih mata’ apabila skuad negara bangkit meledak tiga gol untuk mengheret perlawanan ke penentuan shoot-out.

Tiga gol Malaysia dijaringkan Nurul Safiqah Mat Isa (m-14), J. Thibatharshini (m-27) dan kapten, Nur Syafiqah Mohd. Zain pada minit ke-30.

Atur gerakan… pemain negara memburu gol penyamaan pada perlawanan penentuan tempat ketiga Hoki Piala Asia 5’s menentang Indnonesia. -Pix AHF

Dalam penentuan shoot-out, bekas penjaga gol kebangsaan, Siti Noor Hafiza Zainordin muncul wira, menyelamatkan dua percubaan Indonesia sekali gus menghadiahkan kemenangan 2-1 buat Malaysia.

Kini, skuad negara akan mengiringi dua finalis, India dan Thailand ke pentas Piala Dunia Hoki 5’s yang julung kali dianjurkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada Januari tahun depan.

India muncul juara edisi pertama Piala Asia Hoki 5’s selepas menewaskan Thailand 7-2 pada final.

Bermula hari ini, giliran pasukan lelaki pula beraksi pada kejohanan yang berlangsung di Salalah, Oman.

Piala Dunia Hoki 5’s akan berlangsung di Muscat, Oman Januari tahun hadapan.