TIDAK terungkap dengan kata-kata apabila menerima pengiktirafan pertama di Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2022.

Hanya itu dapat dizahirkan jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah, selepas dinobat penerima Anugerah Atlet Terbaik SAM-100PLUS 2022.

Syarul atau lebih mesra disapa Mike, terharu atas penghormatan berkenaan sejak mula mewakili negara pada 2009.

“Alhamdulillah, anguerah pertama sejak mewakili negara pada 2009. Saya sudah meraih banyak gelaran di peringkat antarabangsa antaranya muncul juara dunia dan Asia sebanyak lima kali namun tak pernah (meraih anugerah) walaupun dicalonkan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua,” kata Mike yang dijadual berlepas ke Nepal pada Jumaat ini, menyertai Kejohanan Asia di Kathmandu.

Jaguh berusia 50 tahun itu, memenangi Anugerah Atlet Terbaik SAM 2022, mengenepikan empat calon lain iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton), Lim Kok Leong (snuker), Muhammad Aniq Kasdan (angkat berat) dan Ng Joe Ee (gimrama).

Kejayaan Mike meraih gelaran itu sekali gus meletakkan namanya sebagai atlet kedua daripada sukan bina badan menerima Anugerah Atlet Terbaik SAM-100PLUS 2022 selepas Sazali Samad melakukannya pada 2013.

Mike menjadi tumpuan apabila meraih gelaran juara dunia buat kali kelima pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia di Phuket Thailand pada Disember 2022.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu, mengungguli kategori ‘athletic physique’ atas 167cm.

Mohd Syarul mula meraih gelaran dunia pada tahun 2016 dan mempertahankannya pada 2017, 2018 dan 2019.

Sementara itu, jaguh badminton para, Cheah Liek Hou muncul Atlet Para Terbaik 2022.

Rekod tanpa kalah yang dipegang juara badminton pada dunia tujuh kali musim lalu meletakkan beliau sebagai pilihan untuk dinobatkan Atlet Para Terbaik 2022.

Bermula dengan kejohanan Antarabangsa Brazil pada April 2022, diikuti kejohanan Antarabangsa Bahrain pada Mei, Kejohanan

Empat Negara Para Badminton Antarabangsa Ireland pada Julai (dua emas) dan Kejohanan Badminton Para Dunia pada November, menjadikan Liek Hou paling layak memenangi anugerah ini.

Pemenang masing-masing menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000 yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Dalam pada itu, SAM turut menghargai jasa dan sumbangan tokoh hebat dalam bidang sukan menerusi Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan yang diberikan kepada Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.