MISI membawa pulang pingat emas dari temasya Sukan Para Asia di Hangzhou, China menjadi keutamaan Cheah Liek Hou, Oktober depan.

Juara dunia tujuh kali itu mengakui amat mahukan kemenangan selepas kali terakhir menuai emas di Sukan Asia pada temasya 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu berkata, dia akan menyertai satu lagi kejohanan di Australia sebelum berlepas ke temasya Para Asia.

“Kejohanan itu 10 hari sebelum ke Para Asia. Ia akan menjadi pemanas badan untuk persediaan saya ke Para Asia,” kata Liek Hou yang menjangkakan saingan kali ini bakal menjadi lebih sengit.

“MSN (Majlis Sukan Negara) meletakkan sasaran untuk saya ke final, kalau boleh menjadi juara. Namun saya tak akan memberikan tekanan kepada diri saya kerana Sukan Para Asia ini, saya pernah menang dan akan cuba sedaya upaya untuk dapatkan prestasi dan kondisi yang bagus untuk melakar kemenangan.

Cheah Liek Hou raih Anugerah Atlet Para Terbaik pada Anugerah SAM-100PLUS 2022.

“Seperti biasa, sama seperti di Sukan Para ASEAN, Para Asia ataupun Paralimpik, seteru paling kuat di kategori saya adalah Indonesia. Namun saya juga tak boleh memandang rendah negara lain kerana saya boleh lihat peningkatan mereka pada tahun ini,” kata Liek Hou.

Pada temasya di Jakarta, Indonesia 2018, Like Hou sekadar meraih gangsa yang menyaksikan emas dan perak masing-masing menjadi milik atlet tuan rumah, Dheva Anrimusthi dan Suryo Nugroho.

Liek Hou meraih kejuaraan tiga kejuaraan berturut-turut tahun ini apabila memenangi Kejohanan Antarabangsa Empat Negara di Sheffield, England selepas menewaskan pencabarnya dari Indonesia, Dheva 21-18, 21-10 pada aksi final.

Ia adalah gelaran ketiga berturut-turunya selepas kejayaan di Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Bahrain dan Kanada.

Untuk rekod, Liek Hou sudah mengumpul lima gelaran, sepanjang tahun ini.