UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) dinobatkan sebagai juara keseluruhan Karnival Sukan Masum 2023 Fasa 2 yang telah berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka.
UiTM berjaya mengumpul pingat sebanyak 17 emas, 8 perak dan 13 gangsa manakala pencabar terdekat iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menduduki tempat kedua fasa 2 dengan kutipan pingat sebanyak 9 emas, 3 perak dan 5 gangsa.
Dengan kejayaan ini, UiTM telah mendapat juara berganda keseluruhan iaitu juara di fasa 1 dan fasa 2 dan UiTM telah mengekalkan kejuaraannya selama empat tahun berturut-turut dengan kutipan pingat keseluruhan fasa 1 dan fasa 2 sebanyak 36 emas, 27 perak dan 29 gangsa.
Timbalan Naib Canselor (HEP) UiTM, Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi berkata, kejayaan ini adalah hasil dari usaha dan semangat yang diberikan oleh semua para atlet serta pegawai.
“Mereka mempamerkan pencapaian yang cemerlang apabila mendapat johan keseluruhan pada Karnival Sukan Masum 2023 fasa 1 dan 2.
“UiTM telah berjaya mendominasikan beberapa acara sukan di sepanjang kejohanan ini seperti taekwondo, memanah, petanque, basikal MTB, silat dan juga bola baling.
“Pasukan dari sofbol anita UiTM juga telah menyumbangkan pingat emas setelah beberapa tahun acara ini tidak dipertandingkan di dalam Karnival Sukan MASUM,” katanya dalam satu kenyataan.
Karnival ini telah diadakan selama 13 hari pada Fasa 1 di Universiti Islam Malaysia (USIM) dan juga Fasa 2 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).