PENYERANG naturalisasi negara, Sergio Aguero gembira apabila kembali terpilih menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya menjelang dua aksi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Syria dan China di Chengdu, China pada September.

Dia yang tersisih ketika kalendar Fifa pada Jun akibat kecederaan kini mahu membuktikan kemampuannya kepada barisan kejurulatihan dan bersedia diturunkan jika dipilih dalam skuad ke China.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada barisan kejurulatihan kerana memanggil semula saya ke kem skuad kebangsaan. Sebelum ini saya tersisih kerana mengalami kecederaan tetapi kini sudah pulih dan mahu buktikan kepada barisan kejurulatihan kemampuan saya.

“Kami mempunyai pasukan yang baik dan bersedia untuk menghadapi dua pasukan yang berada pada ranking lebih tinggi. Semua pemain berkualiti dan terpulang kepada jurulatih untuk memilih dan bagi saya, apa yang saya telah lakukan di kelab dan ketika Piala AFF diharap dapat memikat barisan kejurulatihan,” katanya.

Kali terakhir Aguero menyarung jersi Harimau Malaya adalah ketika Kejohanan AFF tahun lalu dan terlepas panggilan baru-baru ini menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea.