PENGURUS pasukan hoki kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi berbangga dengan aksi yang ditunjukkan oleh para pemain negara menghadapi tekanan dalam perlawanan di sepanjang kejohanan ini.

Beliau juga memuji nilai-nilai baharu yang diterapkan oleh Ketua Jurulatih, A.Arul Selvaraj dalam usaha melahirkan ‘thinking players’ yang lebih bijak dan bertanggungjawab ke atas persembahan masing-masing.

“Kalau kita lihat persembahan pasukan di sepanjang kejohanan ini dan juga pada perlawanan menentang Jepun, para pemain menunjukkan mereka mampu untuk menyerlah meskipun berada dalm tekanan.

“Saya memuji aksi para pemain tetapi kami sedar misi kami kesini iaitu bukan hanya layak ke Piala Dunia tetapi juga sebagai pulang sebagai juara kejohanan ini. Misi kita belum tamat dan harus fokus semula dan berikan aksi terbaik pada perlawanan akhir.

“Antara nilai-nilai yang diterapkan dalam skuad kali ini adalah ‘winning mentality’. Perkara ini sangat penting kerana pemain akan lebih yakin dengan pasukan dan penting untuk skuad ini lebih maju dan juga sebagai cara penambahbaikan pasukan.

“Selain itu, kami juga kini menerapkan nilai kekeluargaan di dalam pasukan ini. Mereka harus lebih kreatif dan juga bertanggungjawab dalam persembahan mereka dengan dibantu oleh pemain yang lain dan bukan hanya bergantung pada arahan jurulatih sahaja.

“Untuk perlawanan akhir ini, pasukan perlu bermain sebaik mungkin. Para pemain perlu menumpukan perhatian pada prestasi kerana jika kita bermain dengan pestasi terbaik kita akan tampil sebagai pemenang,” kata beliau secara eksklusif kepada FLASH SUKAN selepas tamat perlawanan menentang Jepun.

Sebagai rekod, Mirnawan mempunyai 327 penampilan bersama skuad hoki kebangsaan dan berjaya memenangi empat pingat emas Sukan Sea dari 1995 hingga 2001, pingat perak Sukan Komanwel 1998 dan pingat gangsa Sukan Asia Beijing 1990.

Malaysia akan berhadapan Korea Selatan sekali lagi kali ini dalam aksi final untuk menentukan siapakah bakal bergelar juara hoki Asia.