KEMALANGAN serius yang melibatkan sejumlah pelumba berlaku pada pusingan pertama MotoGP Catalunya, sebentar tadi yang menyebabkan bendera merah dinaikkan.

Perlanggaran membabitkan beberapa pelumba berlaku tidak lama selepas bermulanya perlumbaan di Litar Barcelona-Catalunya.

Beberapa pelumba seperti Enea Bastianini, Marco Bezzecchi dan Johann Zarco terlibat dalam perlanggaran di selekoh pertama.

Detik ini bermula dengan Bastianini yang terjatuh selepas mengambil selekoh pertama. Motosikal yang ditunggang Bastianini kemudian melanggar beberapa pelumba lain yang kemudiannya terjatuh kerana tidak dapat mengekalkan keseimbangan motosikal mereka.

Francesco Bagnaia juga mengalami nasib malang, berlaku highside di selekoh kedua. Semasa dia terjatuh dan di atas trek, kaki Bagnaia dilanggar oleh pelumba KTM, Brad Binder, yang berada betul-betul di belakangnya.

Ini membuatkan Bagnaia segera menerima rawatan daripada pasukan perubatan Catalunya MotoGP di tepi trek.

Kemalangan dahsyat ini menyebabkan perlumbaan dihentikan serta-merta untuk memberi masa kepada marshall membersihkan litar selepas kemalangan itu.

Perlumbaan MotoGP Catalunya selepas itu kembali dijalankan. Bagaimanapun, Bastianini dan Bagnaia tidak dapat meneruskan perlumbaan kerana terpaksa menerima rawatan daripada pasukan perubatan.