HANYA berbaki kira-kira 20 hari sahaja lagi sebelum skuad hoki lelaki negara memulakan saingan memburu pingat emas di temasya Sukan Asia Hangzhou, namun beberapa aspek perlu diberi perhatian.
Bekas pemain kebangsaan, Maninderjit Singh berkata, berdasarkan senarai pemain Malaysian Tigers, Malaysia mempunyai barisan pemain paing berpengalaman dengan kira-kia 2,200 kap antarabangsa.
Menurut Meninderjit yang juga bekas Setiausaha Agong Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), prestasi skuad bimbingan A Arulselvaraj di pamer pada Trofi Juara-Juara Asia (ACT), berada pada landasan terbaik untuk mencapai sasaran meraih pinagt emas Sukan Asia Hangzhou, sekali gus melayakkan diri ke Olimpik Paris 2024.
“Pertama, pasukan melakar sejarah kali pertama ke final, kedua kita meraih 104 mata untuk ranking dunia.
“Ketiga, pemain menunjukkan kemampuan menghadapi dua musuh utama Sukan Asia iaitu Korea dan India.
“Dua kali menentang Korea dan menang kedua-duanya, memberi kelebihan kepada skuad kita dan kebangkitan yang ditunjukkan di final menentang India,” kata Maninderjit.
Begitupun, beliau berasakan dua perkara perlu diberi perhatian menjelang temasya itu, iaitu mempersiapkan pasukan menggunakan ‘power play’ dan penalti shoot-out.
“Kita dapat lihat di final menentang India, apabila India jaringkan gol kemenangan kita masih ada empat minit lagi dan pada waktu itu menggunakan power play.
“Di Sukan Asia nanti, ada kemungkinan kita perlu menggunakan power play di separuh akhir dan banyak latihan diperlukan dalam aspek ini.
“Seterusnya, persediaan sekiranya perlawanan ditentukan menerusi shoot-out.
“Sekurang-kurangnya lapan pemain terbaik perlu bersedia untuk melakukan shoot-out, semua dijangka berlaku pada separuh akhir dan akhir, perlu bersedia dari sekarang.”
Berbekalkan barisan pemain berpengalaman dengan persiapan dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini, Maninderjit yakin skuad negara sudah menghampiri tahap permainan India namun kehadiran Pakistan dan Jepun tetap perlu diberi perhatian.
Selain itu, beliau berkata, pemain perlu bijak mengelak daripada menerima kad yang merugikan sehingga kekurangan pemain di atas padang.
“Apabila kekurangan pemain, pasukan lawanan akan mengambil peluang.
“Saya lihat ketika menentang Korea di separuh akhir, kita beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh hingg 11 minit permainan, manakala ketika final menentang India, skuad negara beraksi dalam tempoh sehingga 14 minit dengan 10 pemain,” kata Maninderjit, yang berharap pasukan dapat menyelesaikan isu pengurusan kad dalam perlawanan berintensiti tinggi.
Skuad lelaki negara akan membuka saingan kumpulan B menentang Thailand pada 24 September, Oman (26 September), Indonesia (28 September), Korea Selatan (30 September) dan China (2 Oktober).