PENYERANG kebangsaan, Safawi Rasid menganggap tindakan Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon menguji Harimau Malaya menentang dua lawan yang berada di ranking 100 teratas dunia adalah idea yang bijak kerana ianya sesuai untuk persiapan menjelang Piala Asia tahun hadapan.
Selain bakal bersaing di Piala Asia, skuad kebangsaan juga bakal bermain dalam Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November dan Safawi merasakan dua perlawanan persahabatan menentang Syria dan China ini adalah ujian terbaik buat dia dan rakan-rakan sepasukannya.
“Ianya bagus buat kami untuk berhadapan dengan pasukan yang mempunyai ranking yang lebih tinggi. Persiapan juga sangat baik dan saya berharap kami dapat menggunakan kesempatan bermain di tempat lawan.
“Mereka adalah pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi, kami menghormati mereka tetapi kami sedar mereka mempunyai persamaan seperti di Liga Eropah dan kami perlu melakukan apa yang telah diberikan oleh jurulatih,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Safawi juga meletakkan sasaran untuk mencipta kemenangan dan seperti juga Brendan Gan, dia tidak kisah siapa pun yang menjaringkan gol kerana apa yang penting adalah kemenangan untuk pasukan Harimau Malaya.
“Sasaran saya adalah untuk memberikan kemenangan kepada pasukan, siapa yang jaringkan gol saya tidak kisah kerana kini kami adalah satu pasukan dan siapa juga yang jaringkan gol, ianya dianggap bonus buat pasukan,” katanya.
Pemain berusia 26 tahun itu yang mempunyai kenangan menjaringkan gol ketika bersama Johor Darul Ta’zim berhadapan Shandong Luneng di bumi China dalam Liga Juara-Juara AFC turut berharap dia dapat memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang bermain oleh barisan kejurulatihan.
Safawi kembali menemui sentuhan jaringan apabila berjaya menjaringkan dua gol ketika membantu Malaysia membelasah Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea Jun lalu di Terengganu.