SKUAD Harimau Malaya bakal menghadapi ujian sebenar menjelang persiapan ke Piala Asia AFC 2023 apabila turun menentang pasukan di ranking ke-94 dunia, Syria dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium East Town Football Park, Chengdu pada Rabu.
Berhadapan Syria yang dibawah kendalian Hector Cuper boleh dianggap sebagai ujian sebenar skuad negara yang sebelum ini berada dalam momentum yang baik selepas memenangi empat perlawanan antarabangsa hingga melonjak ke ranking ke-136.
Namun begitu, skuad kendalian Kim Pan-gon mempunyai rekod yang kurang baik di luar Malaysia apabila hanya berjaya mencatatkan satu kemenangan keatas Myanmar pada Disember 2022 ketika Kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric di Yangon.
Meskipun diatas kertas skuad Syria dilihat mempunyai ranking yang lebih tinggi namun mereka juga bergelut di peringkat antarabangsa apabila hanya mampu mencatat dua kemenangan dalam 10 perlawanan terakhir.
Pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan berpendapat mereka sudah mengetahui apa yang akan ditampilkan oleh Syria menerusi analisis video perlawanan dan input yang diberikan barisan kejurulatihan kepada setiap pemain.
Brendan juga memuji kerja keras yang dilakukan barisan kejurulatihan kerana padanya segala input yang diberikan dianggap sebagai luar biasa dan tidak dapat dilakukan oleh individu lain.
“Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihan telah melakukan tugas yang luar biasa dalam mencari maklumat mengenai lawan yang tidak mampu dilakukan oleh individu lain. Mereka datang dengan taktikal yang boleh mengelirukan lawan dan menukar permainan hingga memberikan kelebihan buat kita.
“Mereka juga menukar taktikal pada setiap kem dan kami sebagai pemain perlu pantas mengadaptasi belajar dan fokus dengan apa yang kami perlu lakukan. Menerusi input yang diberikan ini, saya berharap ianya akan memberikan keputusan yang positif buat pasukan,” katanya sebelum berlepas ke Chengdu.
Sebagai rekod Malaysia pernah bertemu Syria sebanyak lima kali sejak 1978 dengan kemenangan berpihak kepada Malaysia dua kali dan Syria memenangi pertemuan sebanyak tiga kali.
Harimau Malaya menang 5-2 dalam Pestabola Merdeka 1978 dan 4-1 dalam perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur pada 2009 manakala Syria pula menang 3-1 dalam Sukan Perpaduan Islam 2005 di Taif sebelum merekodkan kemenangan 3-0 dan 2-1 ketika perlawanan persahabatan pada 2014 dan 2017 di Shah Alam dan Melaka.