“ALHAMDULILLAH lega, semuanya berakhir!”

Demikian respon bekas pemain perseorangan lelaki No. 1 dunia, Roslin Hashim, selepas kes saman fitnah terhadapnya yang difailkan Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Dato’ Kenny Goh, berakhir dengan baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Saya akan move forward untuk badminton Malaysia, cakap lebih-lebih tak de dah, kami sudah mencapai persetujuan dan kami berdua sudah OK.

“Just to focus untuk badminton Malaysia kerana saya dan Kenny akan berkerjasama untuk badminton.

“Benda ni berlaku, kita ambilnya sebagai pengajaran,” kata Roslin di luar kamar Mahkamah Tinggi, selepas penghakiman persetujuan dicapai ketika prosiding di hadapan Pesuruhjaya Penghakiman Roz Mawar Rozain.

Selesai kes saman oleh Kenny , Roslin berdepan satu lagi kes minggu hadapan, membabitkan Ng Chin Chai.

Sementara itu, Kenny turut berlapang dada dan menyifatkan Roslin sebagai individu yang sudah lama dia kenali.

“Sudah lama saya kenal Roslin, lega isu ini diselesaikan dengan baik dan dapat move on, mungkin ada peluang di masa hadapan, kita dapat duduk berbincang melihat bagaimana memberi kebaikan kepada badminton keseluruhannya,” kata Kenny.

Terdahulu, ketika prosiding, Roslin selaku defendan turut membuat permohonan maaf secara terbuka di hadapan mahkamah tinggi.

“Saya, Muhammad Roslin bin Hashim dengan ikhlas hati memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada Dato’ Kenny Goh Chee Kiong kerana telah membuat kenyataan fitnah dan menyinggung terhadap Dato’ Kenny Goh Chee Kiong semasa strim langsung atau ‘Facebook Live’ di akaun Facebook saya, Abe Lin pada tarikh 19.01.2022.

“Saya berasa kesal atas kenyataan saya yang telah menimbulkan pelbagai masalah kepada Dato’ Kenny Goh Chee Keong. Saya sedar yang kenyataan saya telah mencalarkan reputasi dan nama baiknya terutamanya kepada peminat-peminat sukan badminnton di Malaysia. Saya juga sedar bahawa saya telah mengaibkan Dato’ Kenny Goh Chee Keong melalui akta-lkata kesat yang tidak berasas dan tidak patut dinyatakan sama sekali,” demikian sebahagian permohonan maaf secara terbuka Roslin yang diedarkan kepada media.

Begitupun, Roslin perlu hadir ke Mahkamah Tinggi minggu hadapan bagi perbicaraan satu lagi kes membabitkan tuntutan saman daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan BAM, Datuk Ng Chin Chai.