PENCAPAIAN atlet negara di temasya Sukan Asia, menjadi gambaran tepat apa yang bakal dicapai di Sukan Olimpik Paris tahun hadapan.
Perkara itu diakui Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, yang menganggap saingan di Hangzhou mencerminkan cabaran yang sama bakal dihadapi atlet yang bakal beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu.
“Tidak banyak bezanya antara Olimpik dan Sukan Asia. Ia akan menjadi satu cermin kepada apa akan berlaku di Paris 2024.
“Bezanya cuma bagi acara badminton, tiada pencabar dari Denmark iaitu wakil Eropah yang kuat kerana pencabar lain datang dari Asia.
“Jadi saya setuju bahawa Sukan Asia sebagai indikasi terbaik apa yang akan berlaku di Olimpik Paris nanti, baik bagi sukan badminton dan berbasikal,” kata Norza pada sidang media, selepas Majlis Penyerahan Watikah Pemilihan kepada atlet dan pegawai terpilih membentuk kontinjen negara di Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China.
Menurutnya, Sukan Asia juga amat penting buat skuad hoki lelaki negara kerana ia bakal menjadi perjalanan terbaik untuk mendapatkan slot ke Olimpik Paris.
“Berdasarkan undian, peluang ke final itu cerah dan selepas itu berusaha mendapatkan pingat emas untuk beraksi ke Sukan Olimpik.
“Jika hoki ke Olimpik, kita akan ada kontinjen lebih besar, sekali gus menerima pengiktirafan lebih baik daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).”