SKUAD B-23 tahun kebangsaan nyaris menempah laluan berliku untuk layak ke Piala Asia AFC B-23 2024 sebelum dua gol pada babak akhir permainan memastikan Malaysia mencatat kemenangan 2-0 keatas Bangladesh dalam aksi pembukaan Kumpulan H di Stadium Chonburi, Thailand.

Ketika para penyokong sedang bergembira apabila skuad senior Harimau Malaya berjaya bangkit dari ketinggalan 2-0 untuk seri 2-2 menentang Syria di Chengdu, China, anak-anak buah E. Elavarasan menambah senyuman dengan tiga mata yang cukup penting buat Malaysia.

Malaysia banyak menguasai permainan pada babak pertama dengan memperolehi beberapa peluang dan berjaya menjaringkan gol menerusi Arif Ikmalrizal tetapi dibatalkan pengadil kerana dia dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Bangladesh mempamerkan aksi memberangsangkan terutama ketika bertahan dan berjaya menggagalkan barisan serangan negara untuk mencipta jaringan dan kedudukan 0-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Elavarasan melakukan beberapa pertukaran pada babak kedua untuk mencari gol kemenangan namun skuad negara masih bergelut untuk melepasi pertahanan lawan yang kental bertahan dengan sesekali melancarkan serangan balas ke kubu Malaysia yang dikawal Rahadiazli Rahalim.

Gol yang dicari-cari akhirnya berjaya diperolehi apabila Aliff Izwan bijak menggunakan ruang yang ada di hadapannya untuk meledak rembatan dari luar kotak penalti sekaligus menerjah gawang Bangladesh untuk jaringan pendahuluan buat Malaysia.

Ketika aksi hampir berakhir, Fergus Tierney menambah gol kedua buat Malaysia apabila tenang merembat masuk untuk memberikan kelebihan yang lebih selesa sekaligus tiga mata penuh dan langkah yang lebih selesa dalam pusingan kelayakan ini.

Malaysia bakal bertemu Filipina dalam perlawanan kedua pada Sabtu dan sekali lagi tiga mata dituntut untuk memastikan Harimau Malaya layak ke Piala Asia AFC B-23 tahun hadapan.