MALAYSIAN Football League (MFL) mengadakan Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Ke-7 yang dihadiri oleh wakil semua kelab Liga Malaysia 2023 pada Khamis.

Dalam mesyuarat itu, MFL melantik dua Ahli Lembaga Pengarah MFL baharu iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohamed Suffian Awang dan Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew Gim Eam sebagai wakil pasukan bagi penggal 2021-2025.

Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dan dihadiri barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mohd Joehari Mohd Ayub, Senator Datuk Hisamudin Yahaya, Christopher Raj, Datuk Mohamad Jaifuddin Bujang Mohidi, Datuk Marzuki Sulong, serta Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam.

Turut bersama Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman serta barisan Exco FAM.

Terdahulu, Ab Ghani bersama Stuart turut melancarkan trofi Piala MFL yang menjadi rebutan 15 pasukan skuad bawah 23 tahun musim ini.