KEMARAAN ke peringkat separuh akhir Terbuka China, gandingan Chen Tang jie-Toh Ee Wei belum mahu berpuas hati.
Pasangan ranking ke-11 dunia itu melepasi saingan suku akhir, dengan menewaskan gandingan Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin 21-15, 13-21, 21-16 dalam aksi di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Changzhou.
Ini adalah kali pertama Tang Jie-Ee Wei menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik bagi kejohanan bertaraf Super 1000 selepas Terbuka Malaysia apabila mereka kandas di suku akhir, Januari lalu.
Bagaimanapun, Tang Jie menegaskan mereka tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian berkenaan apabila kini mengintai peluang untuk melangkah ke final.
“Sudah tentu kami sangat gembira dengan kejayaan ini kerana ini adalah kali pertama kami layak ke separuh akhir kejohanan Super 1000. Akhirnya, kami berjaya melakar pencapaian lebih baik dalam kejohanan Super 1000 selepas Terbuka Malaysia kami mara ke suku akhir.
“Kami gembira strategi yang kami terapkan terutama di set penentuan menjadi. Kami lebih berani selepas 11 mata kerana sebelum itu perlawanan agak tegang.
“Apa pun, tugasan kami belum selesai, masih ada perlawanan separuh akhir dan jika menang ada final pula. Jadi, kami perlu fokus satu demi satu perlawanan,” kata Tang Jie kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Tang Jie-Ee Wei akan berdepan beregu Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue bagi perebutan tiket ke final, esok.
Berdasarkan rekod pertemuan, kelebihan memihak kepada Tang Jie-Ee Wei yang berjaya mengatasi lawan itu ketika pusingan ketiga Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, bulan lalu.
Menariknya, Terbuka China kali ini mungkin bakal menemukan dua gandingan campuran negara di final, selepas pasangan profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut ke separuh akhir.
Terbuka China tahun ini, bagaikan pentas ‘kelahiran semula’ Kian Meng-Pei Jing selepas mengejutkan pasangan nombor empat dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-18, 21-19 di suku akhir.
Kemenangan itu menyaksikan Kian Meng-Pei Jing berjaya menamatkan badi kekalahan di tangan lawan berkenaan dalam tujuh pertemuan berturut-turut sejak 2019.
Kejayaan mara ke separuh akhir adalah pencapaian terbaik Kian Meng-Pei Jing yang menghuni ranking ke-23 dunia tahun ini selepas sering terkandas di pusingan awal.
Mereka bagaimanapun berdepan satu lagi ujian getir apabila dijadual bertemu juara dunia dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung di separuh akhir.
“Ia sesuatu yang menakjubkan, ini adalah kemenangan besar untuk kami. Kami sudah banyak kali tewas kepada pasangan Thailand ini dan setiap kali kami tewas kami belajar, kemenangan ini adalah hasilnya.
“Apa pun tugasan kami belum selesai, ada perlawanan besar esok menentang juara dunia (Seung Jae-Yu Jung). Jadi, kami akan cuba mengekalkan momentum dan memberikan saingan sengit kepada mereka,” kata Pei Jing kepada BWF.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik beregu campuran negara di Terbuka China adalah menerusi Chang Peng Soon-Goh Liu Ying yang mara ke final pada edisi 2012.
Terbuka China sentiasa sukar buat pemain negara apabila hanya empat pemain pernah bergelar juara di tanah besar itu.
Sejak kejohanan itu dianjurkan pada 1986, gandingan Datuk Jalani Sidek-Datuk Razif Sidek menjadi rakyat Malaysia pertama meraih gelaran dalam beregu lelaki pada tahun 1989, disusuli Wong Choong Hann (2002), Datin Wong Mew Choo (2007) dan Datuk Lee Chong Wei (2015).